24 November 2011

Berani bertemu tok mudin

28 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BALING - Walaupun banyak ibu bapa yang memilih kaedah berkhatan secara moden namun bagi penduduk Kampung Lanai dekat sini lebih selesa menggunakan khidmat tok mudin.

Majlis berkhatan yang berlangsung di Masjid Intan Safinaz, Kampung Lanai merupakan anjuran masjid dan rukun tetangga kampung berkenaan.

Seramai 36 kanak-kanak melibatkan umur empat hingga 10 tahun dikhatankan menggunakan kaedah tradisional seperti duduk di atas batang pisang.

Majlis bertambah meriah apabila kanak-kanak ini turut diarak dan dimandikan sebelum mereka dikhatankan.

Pengerusi Tunas Jiran Rukun Tetangga Kampung Lanai, Mohd Dakroh Yaso berkata, kaedah tradisional tidak sepatutnya dilupakan kerana ia turut mempunyai kelebihan tertentu.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun kita menawarkan kaedah tradisional.

“Selain itu, kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan ini tidak menunjukkan perasaan gugup mahupun takut,” katanya.

Mohd Dakroh berkata, majlis ini merupakan kali kedua dianjurkan pihak masjid dan rukun tetangga.

Katanya, perarakan kanak-kanak ini membuatkan mereka bertambah bersemangat dan dapat menghilangkan perasaan gemuruh mereka.

“RM60 dikenakan kepada setiap kanak-kanak yang ingin menyertai majlis ini. Wang berkenaan melibatkan majlis perarakan, kenduri dan wang sagu hati kepada setiap kanak-kanak,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: