7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KANGAR: Bau hangit yang menyelubungi ruang udara di Taman Desa Pauh, dekat sini, mendedahkan lokasi sebuah rumah yang menjadi tempat pemprosesan wayar kabel sebelum dilebur bagi mendapatkan tembaga.
Berdasarkan maklumat, sepasukan anggota polis diketuai Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, menyerbu rumah terbabit dan menemui sebahagian besar wayar kabel dipercayai dicuri termasuk yang siap diproses, pada jam 2 petang kelmarin.
Enam lelaki berusia 30-an dari keturunan Orang Asli berasal dari Perak, dipercayai terbabit dalam kerja melebur dan mengutip wayar kabel serta pemilik rumah ditahan untuk siasatan lanjut.
Nashir berkata, pemilik rumah berusia 30-an itu dipercayai menggunakan khidmat Orang Asli berkenaan untuk melakukan kerja mengutip dan melebur wayar kabel yang dicuri bagi mendapatkan tembaga sebelum dijual kepada peraih.
“Dia menjadikan rumah lot tepi berkenaan sebagai markas operasi tanpa menyedari kegiatan terbabit menimbulkan kegelisahan jiran berikutan bau kurang menyenangkan akibat pembakaran wayar kabel.
“Ketika serbuan, sekitar rumah itu dipenuhi wayar kabel termasuk berguni-guni mengandungi tembaga yang siap diproses. Barangan itu dipercayai dicuri di negeri ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Beliau berkata, semua stok kabel yang ditemui di dalam rumah terbabit dipercayai diperoleh melalui dua cara iaitu curi dan penyelewengan sebelum diproses atau dibakar untuk mendapatkan tembaga di dalamnya.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan