7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.
CHUKAI: “Nenek (Natrah Maarof) tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada cucu-cucunya. Hanya ibu yang rajin bercerita mengenai kisah dia di Malaysia.
“Semua diceritakan ibu membuatkan saya sentiasa ingin datang ke negara ini dan kini saya amat gembira apabila hasrat itu terlaksana.” Demikian kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah atau nama sebenarnya, Maria Bertha Hertogh yang dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) Terengganu ke negeri ini untuk melihat tempat pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu.
Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.
“Sukar diceritakan bagaimana perasaan saya apabila dapat melihat kawasan yang pernah didiami nenek satu ketika dulu,” katanya.
Dua bersaudara itu semalam dipertemukan dengan Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah di kediamannya di Kampung Mak Chili Paya di sini.
Sasha, anak kepada pasangan Carolein Van Gastel dan Jan Van Gastel berkata, dia dan Romy hanya dimaklumkan mengenai pertemuan dengan Rokayah kira-kira seminggu sebelum berlepas ke negara ini.
“Sejak itu, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya dan berasa amat gembira apabila dilayan dengan mesra,” katanya yang terharu dengan layanan keluarga Rokayah.
Seperti Sasha, Romy, anak kepada pasangan Frans dan Carla Wolkenfelt, turut berkongsi perasaan gembira dengan pertemuan dengan Rokayah serta keluarganya.
“Sebelum ini, saya hanya melihat keindahan dan keunikan Malaysia melalui pembacaan, Internet dan (cerita) ayah. Namun, program ini peluang keemasan untuk saya lebih mengenali keluarga angkat nenek di Malaysia walaupun kami tidak pernah bersua muka.
“Lebih membuat saya terharu, layanan mereka berikan terhadap saya dan Sasha. Mereka amat mesra dan melayan kami seolah-olah pernah bertemu sebelum ini.
“Walaupun pertemuan hanya sekitar empat jam, ia meninggalkan banyak kenangan manis. Malah, layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu,” katanya yang menggemari makanan pedas di Malaysia.
Bagi Rokayah pula, pertemuan dengan dua cucu Natrah adalah satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.
“Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengan waris Natrah dan selama ini menganggap perhubungan dengan keluarga Natrah sudah terputus,” katanya.
Rokayah, anak kedua daripada lapan beradik, adalah anak kepada Kamariah yang menjadi adik-beradik angkat dengan Natrah ketika wanita Belanda itu dibesarkan Che Aminah Mohamad di Terengganu pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Menurut Rokayah, pertemuan itu sememangnya tidak dijangka apatah lagi selepas ketiadaan ibu saudaranya (Natrah) yang meninggal dunia pada 9 Julai 2009.
“Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berkesempatan bertemu dengan tiga generasi dalam keluarga Natrah sendiri.
“Jika diikutkan, tidak banyak kenangan antara saya dan Natrah apatah lagi ketika itu saya masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus.
“Bayangkan, saya hanya bertemu Natrah pada 1998 iaitu selepas 46 tahun kami terpisah. Ia satu pertemuan yang penuh bermakna sebelum dua anak Natrah, Carolein dan Silvia bersama pasangan masing-masing melawat kami awal Januari lalu.
“Kini, tanpa disangka dua cucunya pula datang. Lebih membuatkan saya tersentuh apabila memandang wajah Sasha yang mirip neneknya (Natrah),” katanya yang juga pesara guru.
Menurutnya, kehadiran dua gadis remaja itu seakan-akan rahmat dan hadiah bermakna sempena sambutan Aidiladha, Ahad ini.
“Pertemuan bukan saja mengeratkan hubungan dua negara tetapi ikatan kekeluargaan yang tidak terputus walaupun berlainan agama dan budaya.
“Apa yang diharapkan, hubungan kekeluargaan ini akan berkekalan. Malah, saya turut menyimpan hasrat untuk melawat keluarga Natrah di Belanda,” katanya.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan