29 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, meletak jawatan adalah cara paling terhormat bagi menyelamatkan maruah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terpalit dengan kontroversi projek lembu fidlot.
"Saya merasakan tindakan terhormat yang perlu diambil Shahrizat ialah dengan berundur dan meletak jawatan dari kerajaan secara serta-merta.
"Hanya tindakan berundur diri yang boleh menyelamatkan maruah beliau dan ahli-ahli Wanita Umno yang turut terpalit dengan skandal NFC ini," katanya.
Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya, Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Shahrizat yang kononnya secara terus menyerang dan membidasnya selepas beliau beberapa kali mendesak ketua wanita Umno itu meletak jawatan.
Katanya, selaku wakil rakyat, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas beliau membawa isu ini supaya sebarang penyelewengan dapat dihentikan dan hak rakyat dapat dikembalikan segera.
"Ingin saya ingatkan, isu pokok yang perlu diberi perhatian adalah soal pertanggungjawaban wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada syarikat milik keluarga beliau, kerana prestasinya tidak menepati sasaran. Ianya menyentuh nasib ribuan petani dan penternak yang lebih memerlukan bantuan dana oleh kerajaan berbanding syarikat keluarga beliau.
"Ini juga menunjukkan kedangkalan Shahrizat apabila melihat isu ini sebagai suatu serangan peribadi keatas beliau dan keluarga," katanya lagi.
Sehubungan itu juga beliau berharap Shahrizat kembali kepada amanah yang beliau pikul sebagai pemimpin wanita utama negara dan mennjelaskan peranan beliau sepenuhnya terhadap pendedahan-pendedahan yang dibuat.
"Mengambil iktibar dari insiden ini saya ingin mengingatkan para perwakilan dan diri saya agar bersikap amanah dan jujur dalam menjalankan tugas. InsyAllah ada ganjarannya di akhirat kelak.
"Semoga Allah lindungi kita semua dari hasutan syaitan dan jauhkan dari tamak dan haloba," ujarnya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan