26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
PETALING JAYA, 22 Nov: Pemuda Pakatan Rakyat hari ini bersepakat untuk melancarkan Jejak Anak Muda (JAM) yang akan dimulakan pada Disember ini bagi mendekati hati pengundi muda di seluruh negara.
Bercakap pada satu sidang media di Ibu Pajabat Keadilan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akim memberitahu Pemuda Pakatan Rakyat akan melaksanakan satu program mendekati pengundi muda di seluruh negara.
"Kita telah bersetuju untuk melancarkan satu program Jejak Anak Muda (JAM) pada bulan Disember nanti bagi usaha untuk mendekati pengundi-pengundi muda serta matlamat kita dalam menyampaikan info-info terkini berkenaan dengan usaha Pakatan Rakyat.
"Program JAM akan kita lancarkan selepas retreat Pemuda Pakatan Rakyat di Johor nanti iaitu sebelum berlangsungnya Kongres AMK," jelasnya.
Shamsul juga memberitahu konsep JAM itu akan dilakukan menggunakan kenderaan awam seperti bas, teksi mahupun keretapi.
"Kita akan bergerak menggunakan kenderaan awam, kerana apa yang kita semua ketahui bahawa golongan pemudalah yang paling ramai menggunakan pengangkutan awam dan inilah cara terbaik untuk kita merasai sendiri apa yang mereka alami selain dari kita menyalurkan maklumat kepada mereka.
"Untuk permulaan kita akan fokus pada negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan selepas itu kita akan memasuki negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Program ini akan berterusan sehingga tiba pilihanraya umum," sambungnya lagi.
Tambahnya, program itu akan diketuai oleh pemimpin-pemimpin utama Pemuda Pakatan Rakyat selain dari jawatankuasa-jawatankuasa peringkat negeri.
Dalam pada itu juga beliau memberitahu selain daripada program JAM, Pemuda Pakatan Rakyat juga telah menubuhkan Sekretariat Khas Pemuda Pakatan bagi membincangkan setiap isu untuk menghadapi pilihanraya umum nanti.
Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari memberitahu pada pilihanraya nanti, golongan pemuda adalah penentu kepada pemenang parti yang bertanding.
"Kita melihat pengundi muda akan menjadi penentu kepada menangnya parti yang bertanding dan satu yang luar biasa apabila pertambahan pengundi muda hampir dua juta.
"Kepada parti yang dapat mengambil hati pengundi muda adalah satu kejayaan. Jadi saya melihat program JAM ini satu cara terbaik untuk kita mendekati mereka," katanya.
Tambah Shamsul pula walaupun kita melihat sekarang sokongan pengundi muda berpihak kepada Pakatan Rakyat tetapi tanpa kita mendekati mereka secara terus akan dapat mengurangkan keyakinan mereka.
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang turut serta mesyuarat tersebut memberitahu sentimen pengundi muda sekarang ini memihak kepada Pakatan Rakyat.
"Sokongan pengundi muda sekarang ini sudah memihak kepada Pakatan Rakyat dan kita tahu mereka mula beralih kerana melihat apa yang dijanjikan oleh Barisan Nasional terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanyalah pembohongan semata-mata.
"Golongan muda melihat apa yang telah dijanjikan oleh Najib sebelum ini dengan agenda tranformasinya tetapi tiada satu pun dapat dimanafaatkan oleh pengundi muda. Apatah lagi dengan penangkapan tiga belas orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Mereka melihat kalau sebelum ini janji Najib terhadap pemansuhan ISA tetapi dengan penangkapan tersebut membuktikan jelas Najib tidak bercakap benar melainkan hanya ingin membohongi rakyat," jelasnya.
Sebelum itu, mesyuarat tersebut yang diadakan di Ibu Pejabat Keadilan turut dihadiri Pemuda dari PKR, PAS dan juga DAP dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menghadapi pilihanraya nanti.
Pemuda Pakatan Rakyat juga mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad Bola Sepak Harimau Muda yang telah berjaya mengalahkan Indonesia semalam dan mempertahankan pingat emas Sukan Sea.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan