22 November 2011

Terengganu: 3 tempat dilanda banjir

26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Hujan lebat kebelakangan ini, menyebabkan beberapa negeri terutama Terengganu dan Johor, mula dinaiki air. Sejak dua hari lalu, tiga daerah di Terengganu, iaitu Setiu, Hulu Terengganu dan Marang, mula dinaiki air sehingga ada penduduk yang terpaksa dipindahkan.

Sehingga jam 3 petang semalam, tiga pusat peminda-han sudah dibuka bagi menempatkan 12 keluarga, membabitkan 47 mangsa yang dipindahkan setelah rumah mereka dinaiki air. Penolong Setiausaha Keselamatan (Penerangan) Majlis Keselamatan Negeri, Ahmad Redza Arshad berkata, di Setiu, seramai 30 mangsa dipindahkan ke Masjid Kampung Merbau Menyusut sejak jam 8 pagi.

“Di Hulu Terengganu, pusat pemindahan dibuka di balai raya Kampung Kolam, Ajil melibatkan 13 orang, manakala di Marang adalah di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan empat orang,” katanya. Bagaimanapun, katanya, pusat pemindahan di balai raya Kampung Kolam, Ajil ditutup kira-kira 5.30 petang menjadikan keseluruhan mangsa yang tinggal adalah 34 orang. Menurutnya, hujan lebat juga menyebabkan paras air dua sungai iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan kini melebihi tahap berjaga-jaga, manakala sungai-sungai lain mencatatkan angka melebihi paras normal.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga bagi kawasan Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun. Menurut kenyataan itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat itu dijangka berterusan sehingga Khamis ini (24 November) dan ia akan menyebabkan banjir bagi kawasan yang berkedudukan rendah.

Di JOHOR BAHRU pula, seramai 495 mangsa daripada 119 keluarga dari Kampung Laut dan Kampung Poh Chee Leng di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Skudai Batu 10, di sini, semalam. Timbalan Ketua Pusatnya, Hairil Fitri Jaafar berkata, menerusi jumlah itu, seramai 469 daripada 115 keluarga dari Kampung Laut dan 26 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Poh Chee Leng termasuk 10 pelajar sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pusat berkenaan yang dibuka sejak 9.30 malam, kelmarin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: