22 November 2011

Pembangunan: Selangor sedia kerjasama dengan Pusat

26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 22 Nov: Kerajaan Negeri Selangor tiada masalah untuk bekerja sama dengan Kerajaan Pusat dalam memastikan projek-projek pembangunan berjalan lancar, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika berucap kepada pelabur Jepun yang menghadiri The 30th Jameca – Majeca Joint Conference di Tokyo, semalam, Menteri Besar menegaskan, walaupun berbeza pandangan politik dengan Kerajaan Pusat, Kerajaan Selangor tiada halangan bersikap professional dalam pengurusan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri telah menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama. Saya adalah sebahagian dari Jawatankuasa Bersama antara Negeri dan Pusat untuk projek Greater Kuala Lumpur and Klang Valley dan saya telah bekerjasama dalam menyediakan tanah untuk pembangunan yang dirancang,” kata beliau yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar, di sini.

Beliau menambah, kerja sama itu membolehkan Kerajaan Negeri memastikan projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley diuruskan dengan telus dan memberi nilai maksima kepada rakyat.

“Sebagai contoh saya mendapat tahu RM5 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan sistem pembentungan. Saya harap pemilihan syarikat dibuat secara tender terbuka kepada syarikat tempatan dan juga antarabangsa termasuklah dari Jepun.

“Ini jelas menunjukkan perbezaan politik bukan masalah bagi saya. Sebab itu saya berada di sini untuk memantau jika pelabur Jepun ada masalah supaya kita dapat mencari penyelesaian bersama,” katanya yang menghadiri persidangan sehari itu sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Jepun.

Pada persidangan tersebut, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Mohd Atan telah membentangkan kertas kerja bertajuk Smart City Development.

Sementara itu, Presiden Majeca, Tan Sri Azman Hashim berterima kasih kepada Kerajaan Selangor dan peserta daripada Malaysia yang lain termasuk Khazanah Nasional dan Iskandar Investment Berhad yang menghadiri persidangan bertujuan mengeratkan lagi hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Azman berharap Jepun akan terus melabur di Malaysia dan mengembangkan pelaburan bukan saja dalam sektor perindustrian bahkan sektor perkhidmatan terutama perbankan dan kewangan Islam.

Hari ini, Menteri Besar menghadiri Seminar Pelaburan Malaysia dan melawat kilang Sony di Konan Minato-Ku di Tokyo dan dijangka kembali ke Malaysia pagi esok (Rabu).


Harakah Daily

Tiada ulasan: