26 November 2011

Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu beransur pulih

1 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu pada petang ini semakin beransur pulih dengan ada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di TERENGGANU, sehingga 4 petang ini seramai tujuh mangsa terakhir yang ditempatkan di Sekolah Padang Kemunting, Kemaman dibenarkan pulang tengah hari tadi setelah air di kawasan rumah mereka surut.

Namun sebanyak 12 pusat pemindahan masih dibuka di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Marang.

Jumlah mangsa meningkat kepada 561 orang berbanding 461 orang pagi tadi di daerah-daerah itu.

Mangsa yang ada di pusat pemindahan sekarang ialah Kuala Terengganu (148), Hulu Terengganu tujuh orang, Setiu (372) dan Marang 34 orang.

Di KELANTAN, hanya tinggal lagi tiga daerah yang masih terlibat dengan banjir iaitu Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat dengan jumlah mangsa pemindahan menurun kepada 1,623 orang berbanding 1,884 orang pagi tadi.

Sehingga kini, terdapat 12 buah pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu 10 di Pasir Mas dan masing-masing sebuah pusat di Kota Bharu dan Tumpat. – Bernama

Tiada ulasan: