08 Disember 2011

Selamatkan baki wang rakyat dalam NFC12

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Kerajaan perlu bertindak segera menyelamatkan wang rakyat dengan mengambil alih semua aset National Feedlod Corporation (NFC) yang masih tertinggal.

Langkah ini perlu dibuat untuk menyelamatkan sebanyak mungkin wang yang telah diberi pinjam kepada NFC tetapi telah dibelanjakan bukan untuk 'core busines'nya.

Demikian cadang Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang juga Exco Ekonomi kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataannya hari ini.

"Dalam keadaan seperti ini, Kerajaan seharusnya bertindak cepat untuk menyelamatkan semaksimum mungkin jumlah wang yang telah diluluskan itu.

"Aset-aset yang telah diletakkan atas nama persendirian atau syarikat persendirian oleh NFC harus segera diarahkan untuk diserahkan kepada Kerajaan.

"Kondominium dan tanah di Putra Jaya, jika diserahkan kepada Kerajaan sekurang-kurangnya membolehkan Kerajaan mendapat semula sebahagain wang yang telah diluluskan tetapi telah digunakan untuk tujuan yang tidak bersangkutan," kata Husam (gambar) dalam kenyataannya.

Beliau juga mencadangkan agar Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Senator Shahrizat Jalil juga melepaskan jawatan sebagai sikap pertanggungjawaban dengan apa yang berlaku dengan melindungi kepentingan kerajaan dalam situasi sebegini.

Bagi Husam, neliau seharusnya menunjukkan beliau berada di sebelah Kerajaan dan rakyat jika dakwaan beliau bahawa beliau tidak terlibat dengan sebarang urusan perniagaan suaminya adalah benar.

"Sehingga kini, tidak nampak peranan beliau sebagai Menteri Kabinet benar-benar berkecuali dari NFC yang diuruskan oleh suami beliau.

"Paling tidak, jika kredibiliti beliau mahu dijaga, beliau sendiri mencadangkan satu dua diligence atau odit bebas dilakukan dan laporannya dibentangkan kepada umum.

"Pendirian seperti itu boleh membuktikan beliau benar-benar tidak melindungi sebarang kemungkinan salahguna wang atau pecah amanah suami atau keluarga beliau.

"Sebaliknya, jika beliau terlibat dengan percutian keluarga atas wang NFC yang juga adalah wang rakyat, langkah terhormat adalah meletakkan jawatan menteri serta merta dan menasihatkan suami beliau serta anggota keluarga yang lain menyerahkan semua aset-aset bukan perniagaan berkaitan serta merta," kata Husam.

Husam juga kesal dengan sikap apathy yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam isu ini.

"Sikap berdiam diri Perdana Menteri seakan menunjukkan skandal sebesar ini tidak menjadi keutamaan kepada beliau dan tidak ujud 'sense of urgency' melindungi negara dari salah guna dan penyelewengan bila mana ia melibatkan kerabat dekat UMNO/BN.

"Program Transformasi yang dilaungkan adalah gimmik semata-mata dan pentadbiran beliau, sama dengan pentadbiran lain sebelumnya, tidak mampu keluar dari amalan penyalahgunaan dan penyelewengan berskala besar seperti ini.

"Laporan Ketua Audit Negara dan pendedahan ekoran dari itu sepatutnya sudah cukup untuk beliau bertindak terhadap semua pihak terlibat.

"Odit lanjutan boleh dilakukan sebagai menghargai apa yang telah dibangkitkan oleh Ketua Odit dan berdiam diri hanya memberi makna sikapnya tidak accountable, bersih dan telus. Beliau sanggup membiarkan rakyat terus kecewa dengan amalan-amalan yang merugikan ini," tambah Husam.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: