11 Februari 2012

Muhyiddin lawat Perak sekali lagi hari ini

18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan lawatan sehari ke Perak hari ini dengan bertemu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Ketibaan Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pada kira-kira jam 8.30 pagi disambut Zambry dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Beliau turut bersarapan pagi di kediaman Menteri Besar.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Selepas ini Muhyiddin dijadualkan mengadakan pertemuan tertutup dengan anggota Badan Perhubungan Umno Perak diikuti perjumpaan dengan Badan Perhubungan BN negeri di Bangunan Umno, di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kemudian dijadual menghadiri majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik negeri Perak di sini.

Timbalan Perdana Menteri mengakhiri lawatannya dengan menghadiri program bersama rakyat di Padang Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia di Teluk Intan.

Sementara itu, Noorainee yang mempunyai jadual berasingan akan bersarapan bersama Badan Amal dan Usaha Isteri (Baiduri) negeri Perak diikuti dengan menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama Persatuan Ibu Tunggal Cina Perak di kediaman rasmi Menteri Besar.

Beliau kemudian dijadualkan melawat wad wanita dan kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini - BERNAMA

Tiada ulasan: