6 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
(Ribuan manusia sudah penuhi perkarangan Masjid Jamek, Kuala Lumpur menjelang himpunan Duduk Bantah jam 2 petang ini)
KUALA LUMPUR: Ribuan manusia sudah mula berkumpul di sekitar ibu kota Kuala Lumpur bagi menyertai perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 walaupun perhimpunan rasmi hanya bermula jam 2 petang ini.
Malam tadi, lebih 1,000 datang ke Dataran Merdeka dengan pelbagai ragam bagi menyatakan sokongan mereka kepada tuntutan untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil.
Sehingga jam 9.15 pagi ini, ribuan orang sudah mula memenuhi pelbagai pusat perkumpulan sebelum mereka menuju ke Dataran Merdeka.
Di Masjid Jamek, Kuala Lumpur, lebih 2,000 sudah berkumpul di situ.
(Dataran Merdeka jam 9.45 pagi)
Mereka melaungkan takbir, hidup Bersih dan sebagainya.
Di persekitaran Dataran Merdeka sendiri, ribuan manusia sudah mula berkumpul di situ walaupun jam baru 9.45 pagi.
Ada yang bermain dengan telefon bimbit masing-masing di samping ada yang mula memberikan ucapan menjelang perhimpunan rasmi bermula jam 2 petang nanti.
(Petaling Street jam 10 pagi)
Di Petaling Street, lautan manusia sudah mula direkodkan di situ. Petaling Street adalah salah satu tempat yang dinamakan sebagai tempat berkumpul sebelum mereka bergerak ke Dataran Merdeka.
(Dalam Komuter dari Seremban menuju Kuala Lumpur)
Jalan-jalan menuju ke pusat bandar juga penuh dengan kenderaan yang merangkak menuju ke Dataran Merdeka.
Kebanyakan jalan menuju ke pusat bandar pula ditutup menyebabkan jalan yang terbuka penuh dengan kenderaan.
Ekoran itu, orang ramai diminta menggunakan kenderaan awam khasnya LRT, Komuter dan Monorail yang nampaknya beroperasi dengan baik.
Taufek Ghani, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan melaporkan, komuter yang beliau naiki penuh dengan manusia khasnya orang muda.
Ramai antara mereka pula memakai baju kuning dan kebanyakan mereka nampaknya menuju ke Dataran Merdeka.
Hijau dan Kuning
(Para aktivis perhimpunan Hijau membantah Lynas mula berkumpul MBPJ New Urban Parks, Damansara Damai)
Sementara itu, pihak yang membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan juga mula berhimpun pagi ini.
Mereka akan menuju ke KLCC dan dijangka perhimpunan akan bermula di sana jam 11 pagi.
Selepas itu, mereka juga akan berarak ke Dataran Merdeka untuk menjadikan perhimpunan kali ini adalah Hijau dan Kuning.
Malam tadi, ribuan sudah berhimpun di Dataran Merdeka. Pelbagai aktiviti dilakukan sehingga ke awal pagi.
Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan AJK Bersih 2.0 Hishamudin Rais turut menyertai mereka.
(Haji Mohamad Sabu dan Hishamudin di atas trak meraikan perhimpunan pra Bersih 3.0 di Dataran Merdeka awal pagi tadi)
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan