YANGON 20 April - Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi dan beberapa anggota parti pimpinannya yang baru dipilih ke Parlimen merancang memulaukan sidang Parlimen pada minggu depan kerana membantah satu perkataan dalam ikrar angkat sumpah.
Boikot itu menandakan perbalahan serius pertama antara parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dengan kerajaan propembaharuan sejak berlangsungnya pilihan raya kecil di negara ini pada 1 April lalu yang menyaksikan pejuang prodemokrasi itu buat pertama kali dipilih ke Parlimen.
NLD mengumumkan pemulauan itu, hari ini selepas pihak berkuasa menolak rayuannya supaya meminda satu perkataan dalam ikrar angkat sumpah daripada 'melindungi' kepada 'menghormati' Perlembagaan yang digubal oleh bekas junta tentera negara ini.
Jurucakap NLD, Nyan Win berkata, partinya akan menulis surat kepada pejabat Presiden bagi meminta pihak berkuasa menimbangkan semula keputusan tersebut, tetapi penyelesaian pertikaian itu tidak mungkin dicapai sebelum Parlimen mula bersidang pada Isnin ini.
"Hari ini 20 April, kerana itu saya tidak melihat kemungkinan perkara ini sempat diselesaikan," katanya.
Presiden Thein Sein buat masa ini dalam lawatan ke Jepun.
Suu Kyi dan anggota Parlimen lain daripada NLD telah dijemput untuk mengambil kerusi masing-masing di dewan rendah pada Isnin depan berikutan kemenangan besar partinya dalam pilihan raya kecil itu, dengan memenangi 43 daripada 44 kerusi yang dipertandingkan.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu telah berkata, antara agenda utama beliau di Parlimen ialah menggesa supaya Perlembagaan 2008 dipinda kerana di bawah Perlembagaan itu, 25 peratus kerusi dewan dikhaskan untuk pegawai tentera yang tidak dipilih.
Ahli Parlimen baru NLD melihat ikrar angkat sumpah itu dalam bentuknya sekarang sebagai halangan dalam agenda untuk meminda Perlembagaan dan memainkan peranan berkesan di Parlimen yang dikuasai oleh tentera dan sekutunya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan