27 Rejab 1433H. [MOD] -
SEORANG remaja sedih melihat rumahnya yang dibakar di Sittwe.
Berpuluh-puluh lagi cedera dalam keganasan dua minggu di negeri Rakhine
SITTWE: Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan ramai cedera dalam pertempuran di negeri barat Myanmar semalam ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai derita beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat rusuhan itu.
Akhbar kerajaan, New Light of Myanmar, melaporkan 54 lagi cedera antara 28 Mei dan 14 Mei di negeri Rakhine berikutan keganasan antara penduduk Buddha tempatan dan orang Islam Rohingya.
Laporan tidak menyebut sama ada angka kematian terkini termasuk 10 penduduk Islam yang dipukul hingga mati pada 3 Jun oleh penduduk Buddha bagi membalas dendam berikutan seorang wanita Rakhine yang dirogol dan dibunuh, di mana ia menjadi punca keganasan.
Khamis lalu, seorang pegawai kanan tempatan berkata seramai 29 orang, 16 penduduk Islam dan 13 Buddha dibunuh tetapi kumpulan hak asasi dan sumber tempatan lain percaya angka sebenar di kampung pedalaman di Rakhine mungkin lebih tinggi.
Polis menguatkuasakan perintah berkurung di ibu negeri, Sittwe sepanjang malam dengan anggota pasukan keselamatan mengawasi keamanan, kestabilan dan keselamatan selepas rusuhan yang meletus memberikan satu cabaran serius kepada kerajaan Myanmar.
Hampir 31,900 penduduk kedua-dua pihak ditempatkan di 37 kem di seluruh Rakhine, kata pihak berkuasa di Sittwe pada Khamis, manakala beribu-ribu kediaman dibakar.
Satu pasukan PBB menyaksikan kemusnahan dalam lawatan dua hari ke wilayah itu berkata kira-kira 10,000 penduduk yang hilang tempat tinggal berlindung di Sittwe sendiri.
“PBB mendapati kemusnahan teruk penduduk Rakhine dan Islam di Sittwe adalah amat besar. Mereka berhadapan dengan kesukaran,” katanya dalam satu kenyataan lewat kelmarin.
Berikrar untuk membantu kawasan terjejas, penasihat khas PBB Vijay Nambiar menggesa Myanmar menjalankan siasatan penuh, adil dan dipercayai terhadap pertempuran itu.
“Kami mahu pulang semula ke tempat kami untuk bersama keluarga dan anak-anak,” kata seorang pemimpin Islam di Sittwe, Hla Myint, 56.
Diskriminasi sejak berdekad lalu menyebabkan penduduk Islam Rohingya tidak mempunyai negara dan dilihat sebagai kumpulan minoriti paling tertindas di dunia.
Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar, kata PBB, kebanyakannya di Rakhine.
Kerajaan Myanmar menyifatkan Rohingya sebagai orang asing, manakala kebanyakan rakyat melihat mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan melihat mereka sebagai musuh.
Penduduk Buddha Rakhine dan Islam Rohingya di wilayah itu saling menuduh memulakan serangan terlebih dulu dan sejak beberapa hari penduduk tempatan dilihat di jalanan membawa pisau, pedang dan kayu.
Presiden Myanmar, Thein Sein memberi amaran bahawa keganasan boleh tercetus di negara yang baru mengamalkan demokrasi itu selepas beberapa dekad di bawah pemerintahan tentera.
Ia turut memberi dilema kepada pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi yang kini dalam lawatan bersejarah ke Eropah, di mana beliau berhadapan dengan tekanan dari Rohingya untuk bercakap mewakili mereka tetapi berisiko akan menimbulkan kemarahan di kalangan majoriti penduduk Buddha Myanmar. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan