17 Jun 2012

China hantar wanita ke angkasa lepas

27 Rejab 1433H. [MOD] -

LIU Yang melambai kepada orang ramai sebelum menaiki kapal angkasa Shenzhou-9.
Juruterbang tentera udara berpengalaman terpilih

BEIJING: China menghantar angkasawan wanita pertamanya apabila seorang juruterbang tentera udara menyertai sepasukan tiga angkasawan menaiki kapal angkasa Shenzhou-9 yang berlepas semalam.

Negara komunis itu berusaha menyertai Amerika Syarikat dan Russia sebagai negara yang berjaya menghantar angkasawan tinggal di stesen angkasa lepas.

Ketika bertugas sebagai seorang juruterbang saya terbang di langit. Kini, saya seorang angkasawan, saya akan terbang di angkasa lepas. Penerbangan kali ini lebih tinggi dan jauh. - Liu Yang “Ketika bertugas sebagai seorang juruterbang saya terbang di langit. Kini, saya seorang angkasawan, saya akan terbang di angkasa lepas.

“Penerbangan kali ini lebih tinggi dan jauh,” kata Liu Yang yang bercakap di sidang media yang disiarkan secara langsung ketika menjelaskan perasaan beliau selepas terpilih untuk menyertai misi berkenaan.

“Selain melakukan tugasan yang dirancang, saya mahu mengalami persekitaran mengagumkan di angkasa lepas dan menghargai keindahan Bumi dan tanah air kita dari angkasa lepas,” katanya.

Beliau bersama dua rakan setugas lelakinya, Jing Haipeng dan Liu Wang bercakap kepada media sebelum bersiap sedia untuk pelepasan dari sebuah tapak pelancaran di padang pasir Gobi.

Angkasawan terbabit semuanya adalah ahli Parti Komunis China. Mereka menaiki kapal angkasa Shenzhou-9 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China.

Ini adalah misi pertama pendaratan angkasawan negara itu menjadi negara ketiga selepas Amerika dan Russia yang mempunyai sebuah pangkalan kekal di orbit. Kesemua tiga krew terbabit adalah bekas juruterbang Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

“Liu, 33, akan menjadi sebahagian daripada krew Shenzhou-9 yang dilancarkan semalam dari pangkalan angkasa lepas Jiuquan di padang pasir Gobi, utara China,” menurut pengumuman ibu pejabat program pendaratan angkasa lepas.

Misi Liu akan menjadikan China negara ketiga selepas Russia dan Amerika yang menghantar angkasawan wanita ke angkasa lepas. Jika berjaya ia adalah pelancaran keempat China.

Liu dan dua rakan setugas lelakinya akan mendarat di kapal Tiangong-1 yang pada masa ini mengorbit Bumi.

Pemilihannya dalam misi itu menjadi perkara utama dalam perkhidmatan blog mikro Sina Weibo seperti Twitter, yang mencatat 33 juta komen. – Agensi

Tiada ulasan: