06 Jun 2012

Euro 2012: Situasi Itali kritikal

16 Rejab 1433H. [MOD] -

ITALI mungkin terpaksa melupakan khidmat Andrea Barzagli pada perlawanan pertama peringkat kumpulan selepas doktor pasukan mendedahkan pemain itu memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.

Jika situasinya bertambah buruk impian pertahanan Juventus itu beraksi di Euro, musnah sama sekali.

Barzagli mengalami ketegangan otot ketika diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Rusia minggu lalu yang berkesudahan Itali tewas 0-3.

Pada masa sama, pasukan perubatan Itali memberitahu Mario Balotelli turut cedera, namun enggan mendedahkan keadaan sebenar penyerang itu.

Balotelli gagal melengkapkan sesi latihannya kelmarin dan khabar angin mengatakan bintang Manchester City itu mengalami kecederaan lutut atau betis.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan Barzagli cergas. Kami optimis dia mampu beraksi sekurang-kurangnya pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan," kata doktor pasukan, Enrico Castellacci.

Itali diundi dalam Kumpulan B akan menentang juara bertahan Sepanyol 10 Jun ini disusuli Croatia (14 Jun) dan Republik Ireland (19 Jun).

Sinar Harian

Tiada ulasan: