06 Jun 2012

Selepas 2 tarik diri, Hisham patut bubar Panel Hanif

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein tidak wajar melancarkan perang video tetapi sewajarnya membubarkan Panel Hanif selepas dua anggotanya meletakkan jawatan.

Langkah ini perlu dibuat Hishamudin selepas perletakan jawatan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah yang telah menarik diri daripada keahlian panel itu.

Demikian kata Ketua anggota Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi beliau, tugas utama Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi sokongan padu kepada penyiasatan Suhakan terhadap Bersih 3.0 dan membubarkan panel penyiasatan Hanif,

Tugas itu, katanya, lebih wajar berbanding dengan tindakannya melancarkan ‘perang video’ untuk memberi justifikasi dalam versi rasmi apa yang benar-benar telah berlaku pada “428”

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah membuat pengumuman bahawa satu kompilasi video perhimpunan Bersih 3.0 akan dinaik muat kedalam laman sesawang KDN.

Bagi beliau, ini merupakan satu perkembangan yang sememangnya buruk selepas Bersih 3.0 dengan kempen fitnah dan tohmahan yang telah dilancarkan oleh Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Tugas utama Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri bukanlah entiti yang patut dituduh mahupun yang patut menghakimi, tetapi yang seharusnya memberi sokongan padu kepada penyiasatan yang saksama dan kredibel, katanya.

"Saya bersetuju penuh dengan Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah yang telah berkata tindakan Hishammuddin dalam menaik muat kompilasi video Bersih 3.0 adalah bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menubuhkan panel Hanif kerana ia akan dilihat sebagai tekanan untuk mempengaruhi proses penyiasatan dan penemuan penyiasatan tersebut," kata Kit Siang.

Dua hari yang lepas, Hanif telah berkata panelnya telah ditunjukkan lebih daripada 43 minit rakaman video perhimpunan 28 April daripada 73 jam klip video yang sedia ada.

Jika Hishammuddin bersedia untuk membenarkan orang awam membuat keputusan sendiri mengenai apa yang telah benar-benar berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0, adakah beliau bersedia untuk menaik muat kesemua 73 jam klip video Bersih 3.0? soalnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: