06 Jun 2012

Peserta Bersih 3.0 cedera bantu siasatan Suhakam

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang hadir di perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu dan mengalami kecederaan diminta tampil bagi membantu siasatan bebas yang ditubuhkan Suhakam.

Jawatankuasa Bersih 2.0 berkata, keterangan daripada mana-mana pihak terbabit itu begitu penting bagi memastikan Suhakam mendapat gambaran sebenar berhubung insiden 28 April itu.

Dalam satu kenyataannya, Bersih 2.0 juga berkata mereka yang terbabit digalakkan mengemukakan bukti-bukti seperti gambar atau video yang dirakam ketika perhimpunan tersebut.

"Kami menegaskan bahawa siasatan Suhakam ini adalah jauh lebih bebas, telus dan adil berbanding dari siasatan pihak polis. Anda juga diminta untuk tampil kehadapan untuk memberi kenyataan kepada Suhakam, di mana butiran peribadi anda tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak," sebut kenyataan itu.

Kerjasama rakyat Malaysia amat diperlukan bagi membuktikan peserta-peserta yang hadir pada 28 April lalu adalah rakyat yang menyayangi keamanan dan keharmonian sejagat.

Sebelum ini, Bersih 2.0 telah menghantar satu memorandum kepada Suhakam untuk meminta badan hak asasi itu menjalankan satu penyiasatan bebas berkaitan insiden tersebut, dan telah dipersetujui Suhakam.

Justeru, kepoada rakyat Malaysia yang terbabit boleh menghubungi Suhakam secara langsung dengan menulis emel kepada complaints@suhakam.org.my.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi 428victims@gmail.com atau 012-3496013.

Harakah Daily

Tiada ulasan: