26 Julai 2012

Terpinggir di negeri 'Tiada Yang Terpinggir'

6 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TRONOH: Seorang warga emas, Chong Yin Yew mendakwa tidak pernah mendapat bantuan dan dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri Perak.

Chong Yin Yew, 78, merupakan seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah serba daif di kawasan Railway Reserve, Pusing.

Beliau yang tidak pernah berkahwin mempunyai lima adik-beradik yang tiga daripadanya telah meninggal dunia.

Warga emas ini juga tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan dan terpaksa meminta makanan daripada sahabat-sahabat dan jiran-jiran di sekelilingnya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ada kalanya, beliau mendapat bantuan makanan daripada restoran-restoran yang berdekatan.

Beliau memaklumkan, pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah sebelum ini.

Menurutnya dua orang pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat lawatan ke rumahnya untuk membuat siasatan awal, tetapi, sudah empat tahun tidak mendapat apa-apa jawapan daripada jabatan itu.

Kesusahan Chong Yin Yew itu turut mendapat perhatian Adun Tronoh V.Sivakumar yang datang melawat beliau selepas warga emas itu sendiri datang mengadu masalah kepadanya.

"Pedih mata melihat papan tanda BN di merata negeri Perak dengan slogan 'Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal'.

"Ini adalah satu lagi slogan retorik Barisan Nasional untuk menipu rakyat. Kalau kita jelajah seluruh negeri Perak kita akan bertemu dengan beribu-ribu rakyat yang hidup melarat tanpa sebarang bantuan dan sokongan daripada kerajaan negeri," katanya.

Sehubungan itu, beliau telah menulis surat kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi laporan lengkap kenapa kes ini diabaikan oleh pegawai-pegawainya.

"Saya juga akan membawa isu ini ke Dewan Negeri Perak untuk membela nasib warga emas ini kerana kerajaan BN telah menipu rakyat dengan slogan 'Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal'," katanya.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

'Tiada Yang Terpinggir, Tiada Yang Tertinggal'

Slogan diatas bukannya untuk Rakyat..
ia adalah untuk pemerintah.
Bermaksud tertinggal dan terpinggir harta rakyat yang akan disapu atau dimiliki oleh mereka. itu sebernarnya solangan tersebut..
Rakyat ada faham.