4 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya pada 11 Ogos ini bermula jam 2 petang hingga 8 malam di Kediaman Rasmi MB Selangor, Shah Alam sebagai medan pemantapan peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan.
Bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, DPPM berbesar hati menjemput seluruh profesional muda dari sektor kerajaan dan swasta, alumni-alumni kampus dalam dan luar negara, bersama-sama seluruh kepimpinan Pemuda PAS di peringkat negeri dan kawasan serta ahli parlimen dan Adun Pemuda PAS untuk hadir dalam program yang penuh bermakna itu sebagai kesinambungan daripada siri-siri Xpresi Anak Muda bersempena Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.
Menurut Setiausaha DPPM Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar), program itu akan memberi penumpuan terhadap aspek peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi dan memaknakan kemenangan di dalam kerangka Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat di samping wadah untuk alumni dan profesional muda berdialog dan memberi saranan akhir terhadap polisi dan manifesto yang bakal ditawarkan.
“Program ini turut memberi ruang kepada golongan profesional muda membina jaringan dan maklumat mengikut bidang kepakaran yang diperlukan dalam agenda mengisi kemenangan kelak, selain platform untuk alumni dan profesional muda berdiskusi dan berdialog secara langsung bersama pimpinan tertinggi,” ujarnya.
Antara agenda menarik pada program itu adalah sesi “Xpresi Profesional Muda & Wacana Manifesto PAS” yang akan menampilkan beberapa profesional muda dari bidang syariah, ekonomi, undang-undang, kesihatan, sains dan teknologi, pendidikan, budaya dan kesenian dalam dan luar negara, melontarkan harapan dan cadangan akhir terhadap tawaran Manifesto PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya yang berkaitan kepentingan dan kebajikan anak muda.
Seterusnya, kata beliau peserta turut berpeluang berdialog secara langsung bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam slot “Wacana Profesional Muda bersama Presiden PAS: Negara Berkebajikan – Cabaran & Peluang”.
“Majlis penutup Xpresi akan diserikan dengan penganugerahan Tokoh Profesional Muda, serahan infaq dan ikrar pilihanraya oleh alumni dan professional muda, seterusnya majlis berbuka puasa bersama pimpinan Pusat dan Pemuda PAS,” tambahnya.
Program itu, jelasnya terbuka kepada peserta muslimin dan muslimat dan boleh diikuti secara langsung melalui kemudahan video-conferencing bagi rakan-rakan di Sabah, Sarawak dan luar negara.
Katanya, pendaftaran awal boleh dilakukan melalui borang pendaftaran maya di capaian berikut, http://tiny.cc/Xpresi-Profesional-Muda.
“Jadikan Xpresi ini sebagai manifestasi kebersamaan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Putrajaya kelak,” ujar Khairul Faizi.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan