4 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KUALA SELANGOR - Sokongan rakyat terutamanya masyarakat India di daerah ini ternyata memihak kepada Pakatan Rakyat (PR) apabila mereka mula yakin dengan kemampuan PR menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri selain penyaluran pelbagai peruntukan dan bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati, Ir Muthiah berkata, beliau yakin sokongan masyarakat India di kawasannya terhadap pimpinan PR tidak berbelah bagi dan mampu mencapai 70 peratus sokongan dalam pilihan raya umum nanti.
“Pemikiran masyarakat India di kawasan ini sudah berubah dan mereka mampu menilai kerajaan mana lebih baik memenuhi keperluan mereka serta PR tidak pernah membeza-bezakan bantuan yang diberikan,” katanya ketika hadir pada Pesta Kebudayaan Tamil di Taman
Rajawali, Assam Jawa, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bukit Melawati.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.
Turut hadir dalam program yang menjadi medium menghidupkan kembali budaya tradisi seperti pesta ponggal, pertandingan kavadi, kolum, persembahan silambam dan kebudayaan India, adalah Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Datuk Thasleem
Mohamed Ibrahim; Penyelaras PKM Dun Jeram, Muhd Rashid Abdul Kassim dan Pengerusi Pelaksana Program, A Steven.
Sementara itu, menurut Xavier, sokongan masyarakat India terhadap PR diperlukan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India terutamanya pekerja ladang menerusi perlaksanaan pelbagai program, peruntukan dan bentuk bantuan.
Katanya, kerjasama PKR, DAP dan Pas mampu mentadbir negeri lebih baik berbanding kerajaan terdahulu termasuk sumbangan air 20 meter padu percuma, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan sebagainya.
"Penduduk setempat perlu jelas mengenai dasar Kerajaan Negeri yang banyak memberi manafaat kepada rakyat dan saya sendiri sentiasa turun padang memberikan penjelasan itu termasuk isu terkini yang dimainkan Barisan Nasional (BN) berhubung isu Talam dan krisis kekurangan air.
“Saya berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan muslihat BN sedangkan pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri dalam Merakyatkan EkonomiSelangor (MES) demi kepentingan semua rakyat," katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan