24 Julai 2012

Ramadhan: Harga barang keperluan naik mendadak

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Nampaknya di bulan Ramadhan yang mulia ini harga barang basah dan keperluan dapur yang lain naik mendadak seolah-olah seperti tidak terkawal akan harga yang dipamerkan termasuk dipusat membeli belah yang besar.

Mana tidaknya sekilo ikan kembung, ikan selar dan ikan kerisi kini mencecah RM16 dan begitu juga udang dan sotong berharga RM24 sekilo serta ketam RM28 sekilo. Bayangkanlah jika kita membawa RM50 apa boleh dibawa pulang untuk berbuka puasa bagi 6 orang sekeluarga hanya sekilo ikan kembung dan sekilo udang dan lebihan RM10 untuk membeli sayur, kelapa dan cili masak sahaja.

Ini bermakna setiap keluarga untuk makan berbuka termasuk bersahur adalah RM50 sehari dan apabila dikira untuk sebulan adalah lebih kurang RM1,500 untuk mendapat makanan yang sempurna dan berzat yang minima.

Ini bermakna juga bahawa setiap keluarga yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Kajang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan lain-lain bandar lagi mesti mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan barulah bernafas sedikit kerana mana hendak difikirkan perbelanjaan sekolah anak-anak dan susu tepung untuk bayi yang baru lahir lagi serta tambang dan minyak kereta atau motosikal dan bayar bil elektrik, bil air, bil telefon, cukai pintu, cukai tanah, bil 'Indah Water', hutang kereta dan hutang rumah dan sebagainya.

Nampaknya harga barang keperluan tidak dapat dibendung lagi kerana tiada satu badan yang benar-benar boleh menjamin yang mampu untuk mengawal kenaikan harga barang seolah-olah seperti ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk memonopolikan segala harga barangan keperluan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana itu.

Tidak hairanlah apabila mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan sekeluarga dianggap sebagai keluarga yang masih dikategorikan sebagai miskin dan kurang mampu. Ini bukan satu keluhan atau mungkin juga sememangnya berhak untuk luahkan tetapi hakikat realiti kehidupan yang mesti dan telah pun ditempuhi sebilangan besar rakyat Malaysia dan jangan salah tanggapan.

harakahdaily-

Tiada ulasan: