24 Julai 2012

Pendapatan warga KL hanya naik 1.5 peratus hingga 2009

4 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Satu kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah warga Kuala Lumpur hanya meningkat sebanyak 1.5 peratus untuk tempoh 2007 hingga 2009, jauh berbeza daripada purata kebangsaan sebanyak 4.5 peratus.

Kuala Lumpur, seperti juga Perlis, mencatat peningkatan isi rumah paling rendah berbanding negeri lain.

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2009, yang kali pertama didedahkan kepada umum pada bulan lalu, mengambil kira 45,805 keluarga seluruh negara antara April 2009 hingga Mac 2010.

Kajian setiap lima tahun itu, yang diterbitkan di laman jabatan tersebut, antara lainnya melihat kemampuan kewangan isi rumah Malaysia antara 2007 hingga 2009.

Laporan kajian yang dijalankan setiap lima tahun itu diterbitkan di laman Jabatan Perangkaan.

Menurut laporan itu, pendapatan isi rumah purata seluruh negaa meningkat daripada RM3,686 pada 2007 kepada RM4,025 pada 2009 atau 4.5 peratus setahun.

Pendapatan isi rumah warga Kuala Lumpur hampir tidak berubah, daripada RM5,322 kepada RM5,488 dalam tempoh dua tahun, atau 1.5 peratus setahun.

Putrajaya pula merekodkan peningkatan pendapatan isi rumah hampir 12.9 peratus – paling tinggi berbanding negeri lain.

Ia mungkin berkaitan dengan pelarasan gaji kakitangan awam, yang membentuk sebahagian besar penduduk Putrajaya, namun laporan berkenaan tidak menafsirkan hasil kajian itu.

Pecahan mengikut kaum pula menunjukkan golongan Cina menjadi kumpulan yang mendapat pendapatan tertinggi dengan purata RM5,011 sebulan pada 2009, diikuti kaum India (RM3,999) dan lain-lain (RM3,640).

Kumpulan bumiputera, termasuk masyarakat di semenanjung, Sabah dan Sarawak, berada di kumpulan terbawah dengan pendapatan purata RM3,624 sebulan.

Laporan itu tidak mempunyai statistik berbeza untuk kumpulan Melayu semenanjung dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: