24 Ogos 2012

Bukit Koman Pahang: Ancaman baru selepas Lynas

5 Syawal 1433H. [MOD] -

Kita semua tahu bagaimana Pahang, sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung telah dikurniakan khazanah Alam Semulajadi yang luas sehingga sebahagian darinya dijadikan sumber rezeki kepada penduduknya malah hasil tanaman, ternakan malah sumber air dari negeri itu disalurkan pula ke negeri-negeri yang lain.

Kawasan tanahnya pula terlalu luas sehingga ada sahabat-sahabat saya dari PAS Negeri adakalanya mengeluh letih sehingga ada yang demam beberapa hari kerana terpaksa bergerak jauh menunaikan tanggungjawab masing-masing ke seluruh pelosok negeri.

Di atas bantuan merekalah, pendedahan demi pendedahan jenayah Alam Sekitar di negeri itu dipaparkan buat pengetahuan umum. Saya dimaklumkan ada di antara petugas-petugas kita yang terdedah kepada ancaman keselamatan oleh pihak yang tertentu ketika proses mengumpulkan bukti jenayah itu. Inilah komitmen PAS untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini sehingga sanggup meletakkan misi itu melebihi kepentingan diri dan keluarga.

Ancaman sisa radioaktif LYNAS di Gebeng Kuantan, pencemaran Sungai di Cameron Highlands, Bentong dan di Kuala Lipis, pembangunan dan penerokaan tanah tidak terkawal dilereng bukit di sekitar Cameron Highlands, pusat insinerator di Blue Valley, projek Hidroelektrik di Ulu Jelai, pembalakan haram, serta pencemaran Tasik Chini yang dijangka akan pupus menjelang tahun 2030 adalah sebahagian dari bukti jelas kerakusan pemerintah khususnya di negeri itu yang meratah sumber alam ini seolah-olah alam yang kita pinjam ini tidak perlu dipulangkan kembali seperti sediakala kepada anak-anak dan keturunan kita. Bukankah kita hanya meminjam? Tetapi kenapakah kerajaan negeri di bawah UMNO dan Barisan Nasional menjadikan semua itu MILIK dan HAK KEKAL mereka?

Ketika semua lokasi yang saya sebutkan tadi sedang diratah oleh pihak tertentu, penduduk sebuah perkampungan di Bukit Koman Raub pula sedang berjuang selama lebih 3 tahun demi nyawa keluarga mereka dari ancaman bahan kimia Cyanide yang amat bertoksik itu malah dikatakan antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia ini dan pernah diberi gelaran ‘agen pembunuh’ ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua. Tahukah anda bahawa rakyat terpaksa membayar dengan harga yang tinggi dan tanpa pengetahuan mereka akan bahaya sebenar yang wujud disekeliling kita?

Kenapakah industri berat atau berisiko tinggi seperti ini sentiasa menjadi pilihan UMNO dan Barisan Nasional? Adakah kerana lebih tinggi risikonya, maka lebih besar pulangannya kepada negara atau adakah kerana besar pulangannya kepada kroni-kroni mereka?

Saya pernah menegur wakil MITI kerana tidak berhati-hati ketika menerima kemasukan industri berisiko tinggi seperti LYNAS kerana terlalu teruja untuk mencapai sasaran ‘FDI’ atau ‘Foreign Direct Investment’ negara. Tidak salah untuk menerima pelaburan luar asing tetapi biarlah keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan penduduk diambil kira terlebih dahulu sebelum pelaburan luar asing itu diluluskan.Yang lebih mendukacitakan ialah tindakan memberi pengecualian cukai selama 12 tahun oleh Kerajaan Malaysia walaupun LYNAS menyatakan bahawa mereka memperolehi pendapatan 8 billion setahun.

Bukankah banyak industri luar lain yang boleh dibawa masuk oleh MITI? Industri di mana Malaysia mahir dan berpengalaman di dalam menguruskannya. Tidak yakinkah kita untuk mencapai sasaran FDI itu tanpa industri berisiko tinggi seperti itu?

Memandang industri nadir bumi adalah industri yang baru di negara ini ditambah pula dengan krisis keyakinan rakyat terhadap kegagalan kerajaan persekutuan dan negeri dari kalangan UMNO dan Barisan Nasional di dalam menyelia dan menyediakan kekuatan yang mencukupi untuk agensi-agensi penguatkuasaan di dalam menjalankan tugas mereka dengan baik, ditambah pula dengan kelemahan undang-undang serta proses yang sedia ada yang terdedah kepada manipulasi pihak tertentu untuk ‘menghalalkan’ industri yang tidak halal itu, maka PAS telah mengambil pendekatan mencegah adalah lebih baik dari mengubati untuk tidak menyokong industri berisiko tinggi seperti itu.

Dan kerana kelemahan yang sedia ada kerana kegagalan Umno dan Barisan Nasional di dalam mentadbir negara ini, PAS juga menolak industri perlombongan emas yang menggunakan ‘agen pembunuh’ Cyanide ini.

Terlalu banyak fakta dan bukti jelas akan bahayanya Cyanide ini kepada nyawa manusia dan alam sekitar di seluruh dunia sehingga terdapat beberapa negara yang sudah mengharamkan kemasukan bahan berisiko tinggi itu ke negara mereka, tetapi kenapakah Malaysia tidak mengharamkannya? Kenapa pula apabila ia tidak diharamkan, tidak pula diwujudkan panduan yang jelas seperti yang dilakukan Kesatuan EU untuk mengawal selia sektor perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia yang amat bertoksik itu? Bukankah ini bukti jelas bahawa pembuat dasar yang terdiri dari kalangan ahli politik UMNO dan Barisan Nasional tidak sensitif maklumat?

Ketika PAS mempertikaikan kelulusan membina kilang LAMP milik LYNAS yang dikeluarkan SEBELUM kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar(PEIA) oleh Jabatan Alam Sekitar termasuk pengabaian tuntutan konsultansi pihak awam melalui Lokal Agenda yang digunapakai oleh Majlis Perbandaran yang akhirnya diakui oleh Jawatankuasa PSC LYNAS, PAS juga mempertikaikan bagaimanakah sebuah syarikat perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia yang amat bertoksik ini ditambah pula dengan bukti kemalangan demi kemalangan yang melibatkan banyak kemusnahan alam sekitar dan kemalangan jiwa di seluruh dunia, kelulusan tetap diberikan kepada sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan dengan veteran politik dari MCA itu walaupun lokasi syarikat perlombongan itu hanyalah kurang dari 500 meter dari kawasan penempatan penduduk Kampung Bukit Koman termasuklah sebuah Kem Tentera. Kenapakah INDUSTRI BERAT seperti ini tidak diletakkan di dalam Kawasan Perindustrian agar proses kawalan yang lebih ketat dapat dikuatkuasakan?

PAS juga mempertikaikan atas dasar apakah syarikat perlombongan itu dikurniakan pajakan tanah seluas 300 ekar selama 19 tahun? Termasuk tiadanya ‘Emergency Response Plan (ERP)’ atau Pelan Tindakan Kecemasan yang seharusnya diwajibkan ke atas industri berat seperti itu. Kenyataan yang dipetik dari wakil Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Koman jelas membuktikan tiada satu pun latihan bersama yang dibuat oleh pihak syarikat dengan penduduk setempat malah dengan pihak berkuasa khususnya polis dan bomba jika berlaku apa jua kemalangan dari operasi syarikat perlombongan emas itu.

Potensi kemalangan dan kesan akibat kemalangan khususnya dari ‘CIL Plant’ atau Loji CIL termasuklah ‘Detoxification Plant’ atau Loji Detoksifikasi khususnya pelepasan gas dan letupan termasuklah kebakaran adalah tinggi serta mampu melebihi tahap pendedahan yang dibenarkan malah kenyataan yang dipetik dari Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat(CDC), ketika berlakunya kemalangan yang melibatkan bahan Cyanide itu, penduduk haruslah dipindahkan sejauh 800 meter dari lokasi kebakaran atau bencana itu.

Bagaimanakah proses pemindahan penduduk itu mampu dilaksanakan dengan baik jika tidak ada kekerapan latihan bersama yang pernah dilakukan oleh pengurus syarikat perlombongan itu dengan penduduk setempat dan pihak berkuasa?

Bagaimanakah keselamatan penduduk setempat termasuklah anggota tentera dari Kem yang terdekat terjamin jika lokasi penempatan mereka hanya kurang dari 500 meter apabila CDC mencadangkan pemindahan penduduk haruslah melebihi 800 meter?

Pemantauan dari wakil Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat jelas menunjukkan jika tiadanya latihan bersama yang berterusan seperti yang dituntut oleh Pelan Tindakan Kecemasan(ERP) itu termasuk faktor kepadatan perumahan di sekitar lokasi penempatan 3000 penduduk disitu, proses pemindahan penduduk akan menjadi sukar dan perlahan sedangkan aspek MASA dan ALATAN PERLINDUNGAN atau ‘PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT(PPE)’ yang harus dipakai penduduk amatlah dititikberatkan ketika proses pemindahan itu.

Inilah kelemahan ketara UMNO dan Barisan Nasional khususnya Ahli Parlimen Raub mereka yang juga Menteri Pelancongan dari MCA itu yang jelas tidak mengambil kira aspek-aspek mandatori yang perlu ditekankan oleh syarikat perlombongan emas itu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk di kawasan parlimen beliau sentiasa terjamin.

Selepas lebih 3 tahun wakil Jawatankuasa Penduduk Bukit Koman merintih perhatian dan tindakan dari beliau, MCA masih gagal bertindak untuk menyelesaikan isu ini. Mungkinkah kerana MCA sibuk mempertikaikan isu Hudud sehingga lupa kebajikan rakyat di kawasan mereka? atau mereka hanya meletakkan kepentingan syarikat perlombongan emas itu yang dikaitkan juga dengan veteran MCA itu berbanding kepentingan rakyat?

Agak memalukan apabila Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen dari Bentong itu serta berjiran dengan Menteri Pelancongan itu juga gagal menyelami masalah penduduk di Bukit Koman. Sepertimana beliau berdolak-dalik dalam isu LYNAS di Gebeng Kuantan, beliau juga kini dilihat berdolak-dalik dalam isu Bukit Koman di Raub. Jelas inilah kepakaran ahli politik dari UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat mahir berdolak-dalik demi menyelamatkan karier politik mereka daripada nyawa pengundi-pengundi mereka yang tidak berdosa.

Mereka pernah mengeluarkan kenyataan mengelirukan bahawa sisa buangan radioaktif LYNAS akan disimpan di negara ini, kadang-kala hanya sementara dan ada pula kalanya akan dihantar kembali ke negara asalnya, sehingga rakyat keliru yang mana satukah keputusan mereka kesan dari kerap berdolak-daliknya mereka itu. Mungkinkah ini tabiat semulajadi semua wakil rakyat dari MCA itu?

Saya juga dimaklumkan bahawa sebuah syarikat petro-kimia dari Taiwán yang ditolak oleh Kerajaan Taiwán sendiri kerana isu potensi pencemaran alam sekitar di negara itu mungkin akan diberi kelulusan untuk pelaburan berbillion ringgit dalam projek Rapid di Pengerang Johor. Jika ini berlaku, maka jelaslah bahawa pembuat dasar dari UMNO dan Barisan Nasional sama ada diperingkat persekutuan dan negeri yang diperintah mereka hanyalah mengutamakan keuntungan ekonomi semata-mata khususnya kroni-kroni mereka sehingga membelakangkan keselamatan dan kesihatan rakyat di negara ini serta pemuliharaan alam sekitar.

Adakah negara ini tempat pembuangan sisa-sisa yang ditolak oleh negara asal mereka? (Taiwán dan Australia) Jika YA, maka tiadalah beza kita dengan negara dunia ketiga dan tersasar jauhlah kita dari matlamat asal negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Saya amat yakin, jika UMNO dan Barisan Nasional terus diberi mandat untuk memerintah negara ini selepas PRU-13, segala-galanya akan hancur berkecai sehingga tiada apa lagi yang boleh kita wariskan kepada anak dan cucu kita. Semoga Allah S.W.T menyelamatkan kita dari kerosakan yang dibawa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Sekali lagi saya ingin menyeru, seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kezaliman ini untuk sama-sama turun ke Raub Pahang pada 2hb September ini (Ahad) sebagai satu tindakan solidariti bantahan penggunaan ‘agen pembunuh’ Cyanide serta suara rintihan rakyat terhadap kemusnahan alam sekitar khususnya di negeri Pahang.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: