27 September 2012

Abu Hamza dapat tangguh ekstradisi ke Amerika

11 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



(Abu Hamza Al Masri yang buta sebelah matanya)

LONDON: Ulama Abu Hamza al-Masri menang kes rayuan ekstradisi beliau dari Britain ke Amerika Syarikat, sehari selepas rayuan beliau ditolak Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Satu kenyataan daripada badan kehakiman berkata Rabu lalu, hakim telah memberi injunksi selepas Abu Hamza dan seorang suspek lain mengemukakan rayuan terhadap ekstradisi mereka.

Kenyataan tersebut tidak memberi asas rayuan mereka, tetapi berkata asas tersebut akan didengari di mahkamah terbuka.

Keputusan hakim ini menjamin publisiti yang berterusan dalam kes yang telah melanda media British dan turut mengheret Ratu Elizabeth.

Washington menuduh Abu Hamza, warga Mesir berumur 54 tahun, sebagai penyokong al-Qaeda, membantu penculikan di Yaman dan merancang untuk membuka sebuah kem latihan tentera di Amerika Syarikat.

Abu Hamza, yang boleh menghadapi hukuman lebih daripada 100 tahun di penjara paling-selamat "Supermax", berhujah bahawa beliau mendapat layanan tidak berperikemanusiaan di Amerika Syarikat.

Abu Hamza dan empat suspek lain ditolak rayuan mereka di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg Isnin lalu.

Home Office Britain, atau kementerian dalam negeri, berkata selepas keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah bahawa mereka akan menyerahkan suspek "secepat mungkin".

Pejabat Kehakiman, yang mengendalikan komunikasi dari badan kehakiman, berkata dalam satu kenyataan, Abu Hamza dan Khaled Al-Fawwaz telah membuat rayuan tetapi enggan menjawab soalan berkenaan butiran rayuan.

Biasanya, seseorang yang melawan ekstradisi perlu mengemukakan bukti baru untuk memenangi perbicaraan baru selepas semua rayuan termasuk dari mahkamah Eropah telah ditolak.

"Hakim Mahkamah Tinggi telah menimbangkan permohonan tersebut dan menangguhkan kes tersebut untuk perbicaraan di mahkamah terbuka," katanya. "Hakim telah mengeluarkan injunksi interim yang menghalang ekstradisi mereka sebelum perbicaraan. Hakim telah mengarahkan perbicaraan ditetapkan dengan segera."

Abu Hamza, ulama yang buta sebelah matanya dan mempunyai cangkuk logam untuk tangannya memuji serangan 11 September 2001. Beliau seorang khatib di sebuah masjid di London Utara tetapi kemudiannya disabitkan tuduhan menghasut pembunuhan dan kebencian kaum. Dia sedang ditahan di penjara British.

Selasa lalu, BBC meminta maaf kepada Ratu Elizabeth selepas seorang wartawan kanan melaporkan butiran perbualan peribadi beliau dengan Ratu tersebut, yang kononnya memberitahu bahawa Ratu telah membuat aduan kepada kerajaan sebelum ini berkenaan Abu Hamza.

Ratu Elizabeth dikatakan kecewa kerana Britain tidak menangkap Abu Hamza selepas dia memberi khutbah anti-Barat di luar sebuah masjid di London selepas serangan 11 September.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: