27 September 2012

Amuk gagal buka peti besi

11 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Amuk gagal buka peti besi
 
Cermin pintu kedai serbaneka itu pecah menggunakan alat pemotong besi (gambar kecil).
KUANTAN - Seorang lelaki yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Gajah, Triang, Bera bertindak nekad memecahkan pintu kaca dan merosakkan dinding kedai berkenaan dalam kejadian awal pagi kelmarin selepas gagal membuka peti besi.

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek yang berusia 34 tahun memasuki ke premis terbabit dan mengambil setin minuman namun tidak membayarnya dengan alasan tidak memiliki wang kepada pekerja wanita berusia 20 tahun di kaunter.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, suspek kemudian keluar daripada premis itu sebelum masuk semula dan meminta pekerja terbabit menyerahkan wang.

“Suspek keluar selepas memperoleh wang tunai sebanyak RM40 namun tidak berpuas hati dan kembali semula dengan membawa alat pemotong besi.

“Suspek turut mengugut mencederakan pekerja wanita selain cuba membuka pintu besi di premis itu menggunakan alat pemotong besi yang dibawanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, kelmarin.

Menurutnya, suspek itu berang selepas usahanya tidak berjaya dan mengamuk lalu memecahkan pintu kaca serta merosakkan dinding premis sebelum melarikan diri.

“Mangsa kemudiannya  memaklumkan kejadian itu kepada ketuanya yang bertindak menghubungi polis dan suspek berjaya ditangkap tidak jauh dari kawasan terbabit kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: