16 September 2012

Kelindan lori cerita pengalaman ngeri ditimbus tanah

29 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - "Masa ditimbus tanah, saya sedar dan terasa ada orang pijak (tanah di atas) sebelum orang kampung menyedari saya tertimbus di dalam.

"Masa kejadian itu, saya berada berhampiran lori dan secara tiba-tiba, tanah itu runtuh dan menghempap kami, menyebabkan kami gagal menyelamatkan diri," kata seorang kelindan lori Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19, ketika menceritakan pengalaman ngeri ditimbus tanah semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, Mohd Hanifah bersama rakannya, Mohd Azharulnizam Daud, 24, yang juga pemandu lori ditimbus tanah ketika melihat adik Mohd Azharulnizam iaitu Mohd Zuraime, 17, melakukan kerja menarah tanah menggunakan jengkaut.

Mohd Hanifah bernasib baik apabila hanya patah tangan, bagaimanapun, Mohd Azharulnizam terkorban selepas tanah setinggi 10 meter yang sedang ditarah itu runtuh. Mohd Zuraime berjaya menyelamatkan diri.

"Saya tertimbus di dalam tanah rasanya dalam 20 minit, saya bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh orang ramai," kata Mohd Hanifah kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Katanya, kejadian yang menimpa mereka berlaku terlalu pantas dan jika diberi pilihan, beliau tidak lagi ingin melakukan kerja tersebut kerana serik serta takut setiap kali teringatkan insiden itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: