29 Syawal 1433H. [MOD] -
Firman Allah, maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah” (Surah Al-A'raaf 7:11-12).
Sukacita saya mengulangi apa yang pernah saya ucapkan sebelum ini, bahawa kita hendaklah merdeka daripada penjajahan. Ini kerana penjajah membawa fahaman yang berlawanan dengan ajaran Islam. Penjajah yang membawa fahaman sekular dan kebangsaan, sedangkan fahaman ini ditolak oleh Islam.
Sebagaimana sifat iblis yang suka menghasut manusia supaya berbuat sesuatu yang berlawanan dengan perintah Allah. Sifat iblis ini adalah suatu penjajahan atas manusia yang beriman, maka iblis adalah penjajah pertama terhadap manusia. Oleh itu, kemerdekaan dari hasutan iblis adalah wajib, dan sebagaimana kita juga wajib merdeka dari fahaman kebangsaan dan sekular yang dibawa oleh penjajah.
Di dalam Al-Quran, seperti mana maksud ayat Surah Al-A’raaf di atas bahawa datuk manusia yakni Adam dan Hawa pernah dihasut oleh iblis ketika dalam syurga. Iblis menjalankan ‘penjajahan’ agar Adam dan Hawa mengikut hasutannya memakan buah dari pokok yang dilarang oleh Allah. Iblis melaksanakan pendekatan ‘ghurur’ dengan memujuk secara tipu daya, kononnya apabila memakan buah larangan itu Adam dan Hawa akan kekal selama-lamanya di dalam syurga.
Hakikatnya, pujukan iblis itu merupakan suatu penipuan ke atas manusia yang memang ada kelemahan (lupa). Akibat pujukan dan tipu daya iblis, lalu manusia yang lemah itu terpengaruh. Justeru itu Adam terpengaruh. Akibatnya Adam dimurkai Allah, lalu Adam dan Hawa dihalau keluar dari syurga dan dihumban ke dunia.
Walau pun begitu, Adam dan Iblis tetap berbeza. Adam telah mengaku salah dan memohon keampunan dari Allah. Sementara iblis tetap engkar untuk tunduk kepada perintah Allah, malah bersikap angkuh terhadap tuhan yang menciptanya. Iblis juga mempersoalkan perintah Allah agar sujud kepada Adam dengan katanya: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” Iblis bangga dengan sifat api yang menyala dan meruap ke atas, sedangkan Adam dipandang hina kerana sifat tanah berada di bawah. Iblis tidak sujud sedangkan malaikat yang dicipta dari cahaya sanggup sujud kerana patuh perintah Allah SWT.
Inilah perbezaan besar sifat iblis dengan manusia. Atas perbezan inilah, sewajarnya kita kena merdeka diri dan negara ini daripada sifat iblis yang dilaknat Allah. Oleh kerana itu, semangat kesatuan di bawah sebuah negara merdeka, Hari Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963 sejak dulunya, (masuk 51 tahun) harus dikenang dan dijadikan landasan bagi mengisi negara dengan nilai kemerdekaan menurut semangat Islam. Kita hendaklah mengisinya dengan prinsip dan sistem bernegara yang diajar oleh Islam.
Maksudnya di sini, kita tidak boleh mengisi negara ini dengan pemikiran penjajah Inggeris yang mirip menghasut umat Islam menerima fahaman mereka – menolak prinsip dan sistem bernegara yang diajar oleh Islam. Sedangkan umat Islam diajar oleh Nabi Muhammad SAW agar mengisi dan melaksana urusan negara ini berpandukan prinsip dan ajaran Islam. Inilah amanah Allah kepada semua umat manusia tidak kira Melayu, Cina, Inggeris mahu pun Arab.
Sesungguhnya, manusia sedia memikul amanah Allah, sebagaimana firman-Nya (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan” (Surah Al-Ahzaab 33:72).
Di atas kesanggupan memikul amanah tersebut, sebagai umat yang beriman tidak kira Melayu, Cina, India, mahu pun Inggeris atau Arab; kesemuanya haruslah menjadikan dunia ini sebagai medan melaksana amanah Allah. Medan (dunia) menuju ke akhirat.
Justeru segala isi alam ini (langit dan bumi) adalah kepunyaan Allah. Oleh itu, mana-mana pihak yang mengambil prinsip selain apa yang diamanahkan-Nya, maka ia hendaklah ditolak. Cara menolaknya mengikut lunas sekarang ialah jangan mengundi mereka.
Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku sekarang, apabila dunia kini sudah berubah. Lihatlah peristiwa ‘Arab Spring’ yang menyaksikan di beberapa negara sudah menolak pemimpin dan kerajaan yang bersengkongkol dengan Barat atau menjadi talibarut Israel. Ia berlaku di Mesir, Tunusia, Libya, Algeria dan sekarang di Syria. Inilah hakikat kebangkitan golongan yang ingin mengisi negara yang merdeka dengan amanah Allah. Mereka bersedia meletak agama bagi mengisi dunia menuju akhirat. Realiti ini sudah berlaku di Kelantan sejak 22 tahun dulu yang kini sedang bermula pula di dunia Arab.
Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk untuk kita terus berusaha melaksanakan amanah Allah di dunia ini.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.
Pulau Melaka.
29 Syawal 1433 bersamaan 16 September 2012.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan