16 September 2012

Mati dihempap traktor

29 Syawal 1433H. [MOD] -

JITRA - “Aku tak mau balik. Apa cerita pun kita habiskan kerja malam ini juga sebab duit dalam poket tinggal RM3 saja.” Itulah luahan terakhir Nor Azman Abdul Majid, 31, sebelum maut dihempap traktor kepada adiknya Shazwan Suhaili Abdul Majid, 15, yang bersama mangsa menjalankan kerja-kerja pembersihan kebun getah di Kampung Paya Pahlawan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa yang bekerja sebagai Pembantu Am di Kolej Jururawat Alor Setar mengambil upah menjalankan pembersihan di kawasan kebun tersebut sebagai sumber pendapatan sambilannya.

Bapanya, Abdul Majid Mohd Noh, 62, mendapat panggilan daripada bapa saudara mangsa kira-kira jam 8 malam bahawa mangsa meninggal dunia akibat dihempap traktor dan bergegas ke tempat kejadian mendapati bahawa anaknya tidak lagi bernyawa.

Menurutnya, mangsa kebiasaannya melakukan kerja-kerja sambilan tersebut hanya waktu cuti sahaja kerana ingin mencari sumber sampingan bagi menampung keluarganya.

“Setibanya pak cik di tempat kejadian, keempat-empat tayar traktor tersebut sudah ke atas dan mendapati mangsa terperosok di antara tempat duduk dan bumbung traktor tersebut.

“Sebelum itu, adiknya yang kebetulan berada di situ menyaksikan kejadian tersebut cuba membantu mangsa yang tersepit namun gagal dan menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk membantu,” katanya ketika ditemui, kelmarin.


Mangsa ada balik rumah

Abdul Majid yang merupakan pemain wayang kulit Asun berkata, sebelum kejadian lebih kurang jam 4 petang, mangsa ada pulang ke rumah mendapatkan peralatan sepana yang selalu dibawa setiap kali mengambil upah menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Menurutnya, selepas mendapatkan peralatan tersebut, lebih kurang jam 6 petang mangsa kemudiannya tergesa-gesa ke tempat kejadian untuk menyelesaikan kerja-kerja pembersihan itu.

“Selalunya mangsa tidak pernah mengajak sesiapa daripada ahli keluarga untuk menemaninya tetapi semalam, mangsa mengajak adiknya itu untuk bersama-sama ke kawasan kebun tersebut.

“Sehingga sekarangnya adiknya masih trauma dengan kejadian tersebut dan tidak dapat menceritakan detik-detik berlakunya kejadian yang tragis itu,” katanya.

Katanya, tiada sebarang luka di bahagian tubuh mangsa tetapi pinggangnya patah disebabkan traktor seberat enam tan menghempap mangsa.

“Sejam selepas kejadian adiknya memberitahu bahawa mangsa masih bernafas namun beliau disahkan meninggal dunia yang kemungkinan sukar bernafas kerana stereng traktor tersebut betul-betul berada di dadanya,” katanya.


Mangsa seorang yang pendiam dan rajin

Pak Majid berkata, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik adalah seorang yang pendiam dan rajin bekerja.

Menurutnya, mangsa tidak pernah merungut dengan masalah yang dihadapi sebaliknya menyelesaikan masalah tersebut tanpa membabitkan orang lain.

“Azman juga seorang yang tidak pandai memarahi orang lain walaupun mendapati mereka salah dan apabila dia sendiri yang dimarahi, dia hanya senyum tanpa menunjukkan rasa tidak puas hati atau sebaliknya.

“Kadang-kadang mangsa ada juga membantu pak cik yang bertindak sebagai teknikal di mana sahaja jemputan persembahan Wayang Kulit Asun diadakan,” katanya.

Katanya, kehilangannya amat dirasai kerana dia adalah seorang anak yang baik dan mematuhi nasihat kedua ibu bapanya.

“Sebelum ini, setiap pertunjukan dia yang membantu tetapi kini tiada lagi. Masih ada juga adiknya membantu namun tidaklah secekap arwah yang sering kali mengikuti pak cik,” katanya.

Mangsa meninggalkan dua orang puteri NurHafifi Azman dan Arfah Azman serta seorang balu Azizah Mohd Ali, 31, manakala mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kunluang, Mukim Binjal, Jitra kira-kira jam 10.00 pagi semalam.


Mangsa gagal naik

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasbullah Mohd Isa, berkata, pihaknya menerima panggilan tersebut lebih kurang jam 8.40 malam dan setibanya di tempat kejadian mendapati traktor tersebut terjatuh ke dalam parit dalam kebun berkenaan.

Menurutnya, beberapa anggotanya terlebih dahulu mengenal pasti tempat tersebut sebelum menjalankan operasi menyelamat mangsa yang tersepit.

“Disebabkan keadaan sekelilingnya terlalu semak dan gelap kerja-kerja menyelamat hampir memakan masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang terbenam di dalam parit berkenaan.

“Sebanyak tiga buah jentolak digunakan dalam operasi tersebut. Dua buah digunakan untuk mengangkat traktor seberat 6 tan manakala sebuah lagi digunakan untuk membersihkan kawasan untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasbullah berkata, mangsa dipercayai terjatuh bersama traktor yang dibawanya ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan sekitar kebun tersebut namun cubaannya untuk menaiki semula parit itu gagal.

“Dianggarkan kedalaman parit tersebut berukuran 4 sehingga 5 kaki kedalamannya dan cubaannya gagal apabila traktor tersebut terbalik ke belakang menyebabkan mangsa dihempap sehingga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dikeluarkan dari kawasan tersebut kira-kira jam 11 malam dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Jitra,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: