29 Syawal 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU – Polis negeri ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Desa Harmoni jam 1.30 pagi, Khamis lepas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil serbuan anggotanya berjaya merampas beberapa jenis dadah dan peralatan memproses dadah serta tiga kereta yang keseluruhan bernilai RM1 juta.
Menurutnya, premis kediaman berkenaan dipercayai menjadi tempat pemprosesan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar negeri ini.
“Dadah dirampas yang disyaki ketamin, serbuk ekstasi, pil ekstasi dan pil eramin 5 dengan nilai rampasan RM713,440 dianggarkan untuk bekalan kepada 23,640 penagih sekitar negeri ini.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan percaya sindiket ini ada kaitan dengan serbuan makmal dadah di Muar yang dijalankan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, anggotanya turut menahan dua lelaki dan seorang perempuan yang berumur lingkungan 35 hingga 39 tahun yang sedang nyenyak tidur ketika serbuan.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan awal.
“Suspek ditahan reman sehingga 20 September ini dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata, anggotanya sedang memburu dua lagi suspek untuk membantu polis bersabit kes serbuan makmal memproses dadah yang bernilai RM68 juta di Muar, Ahad lepas.
“Kita minta orang ramai yang mengenali atau ternampak kedua-dua suspek ini menghubungi talian hotline polis Johor 07-2212999 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Mohd Mokhtar berkata, pihak polis juga sudah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam kes membaling molotov cocktail membabitkan kediaman dua pegawai kastam di Taman Pelangi dan Taman Sri Pulai Perdana, Khamis lepas.
“Kita percaya ada yang telah menghilangkan diri, tapi kita nasihatkan mereka serah diri sebelum kita menyiarkan gambar dan membuat tangkapan,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan