14 September 2012

Wanita PR perkenal Agenda Wanita Malaysia tujuh perkara

27 Syawal 1433H. [MOD] -

Sayap Wanita Pakatan Rakyat (PR) memperkenalkan tujuh tumpu Agenda Wanita Malaysia khusus bagi memperkasa dan mengangkat falsafah hormat wanita di negara ini.

Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, agenda ini patut diselesaikan dan dirangka bagi mendukung hasrat wanita bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan menggunakan tema "Wanita Berdaya Negara Sejahtera".

Tujuh tumpu Agenda Wanita Malaysia ialah dasar pendidikan celik dan cerdik, kelangsungan kesihatan dan hidup berkualiti, penglibatan dan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial, pendemokrasian politik, pemberdayaan dan penguatkuasaan undang-undang dan agenda wanita muda.

"Kami akan menekankan dasar yang berkait rapat dan meliputi sosio ekonomi yang menyambut baik dasar iaitu falsafah hormat wanita dalam Agenda Wanita Malaysia sebagai falsafah asas yang memartabatkan wanita selaku pemangkin negara," katanya berucap dalam Majlis Pelancaran Agenda Wanita Malaysia yang bertemakan "Wanita Berdaya Negara Sejahtera", malam tadi.

Justeru, langkah awal ini penting bagi memacu pembangunan wanita yang menekankan elemen pemberdayaan, pengiktirafan dan pelaksanaan.

"Jika hormat wanita itu dijadikan budaya, maka banyak isu atau masalah sosial yang melibatkan wanita dapat ditangani dengan mudah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, antara tuju tumpu Agenda Wanita Malaysia ialah dari segi penguatkuasaan undang-undang, kelangsungan hidup berkualiti, penglibatan dan peluang ekonomi, dasar pendidikan dan kesejahteraan sosial yang merangkumi aspek kesejahteraan kesihatan.

"Ini merupakan cita-cita wanita dalam PR dan jika diberi peluang mentadbir di peringkat persekutuan kelak, agenda ini akan dilaksanakan," tegas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof dalam sesi ucapannya turut menegaskan, matlamat Agenda Wanita Malaysia ialah khusus bagi melindungi hak wanita di negara ini.

“Kita mahu wanita berdiri sama taraf dengan kaum Adam di negara ini. Hak politik di kalangan wanita juga harus dipertingkatkan,” katanya.

Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng turut menegaskan yang Agenda Wanita Malaysia ini menunjukkan keprihatinan PR dalam memehami aspek perbezaan gender dalam hal ehwal pentadbiran dan penggubalan dasar.

“Justeru itu, kami sebulat suara ingin memastikan agenda perubahan ini merangkumi masa depan yang lebih cerah bagi semua wanita di negara ini,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: