01 Oktober 2012

Keganasan politik: Siapa pula mangsa seterusnya?


15 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan pihak tertentu merosakkan tiga kenderaan milik pemimpin NGO termasuk kenderaan yang dinaiki Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika program Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Johor semalam.

Turut dirosakkan adalah dua kereta aktivis sosial Hishamuddin Rais dan wartawan Suara Keadilan, Sidiqin Omar yang disimbah asid.

“DPPM menganggap tindakan pihak berkaitan adalah tindakan pengecut golongan yang tersepit dan terdesak bagi menyekat arus kebangkitan rakyat,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, mereka ini adalah golongan yang cemas apabila melihat rakyat Johor bangkit bersama-sama dalam himpunan Hijau Lestari Pengerang semalam.

Menurutnya, apabila rakyat Johor juga sudah mula membuka mata dan bersuara, ini menandakan hayat politik pemerintah sudah semakin menuju ke pengakhirannya.

Justeru, kata beliau ada pihak tertentu yang sukar menerima hakikat pasang surut politik negara ini melakukan tindakan sedemikian sebagai amaran kepada PR agar jangan terlalu agresif memimpin gelombang rakyat.

“DPPM merasa bimbang kerana trend keganasan sudah semakin menular akhir-akhir ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, setelah pemimpin PAS dan PKR dibaling kasut dan hampir diserang di Kedah, ceramah Pakatan Rakyat diganggu dengan dilontar batu, penontonnya dipukul, siri simbahan cat merah ke rumah pemimpin PAS, bas PKR, markaz PAS serta Pejabat Pakatan Rakyat, rumah pemimpin PR dibaling molotov cocktail, dibakar dan lain-lain lagi, kini muncul pula serangan ke atas kenderaan milik pemimpin Pakatan Rakyat.

Justeru, tegasnya DPPM mengingatkan pihak terbabit bahawa budaya keganasan bukanlah budaya yang diterima oleh rakyat di negara ini.

Katanya, rakyat semakin matang dan bijak berpolitik, dan rakyat memilih politik aman sebagai jalan perjuangan mereka.

Beliau menambah, rakyat mahu melihat apakah tawaran parti-parti politik terhadap mereka bagi menarik hati mereka.

Malah, katanya lagi rakyat menunjukkan sikap simpati dengan PR kerana kerap menjadi mangsa pelbagai tindakan sabotaj yang dilakukan siang dan malam.

“Nyawa pemimpin PR adalah ibarat kertas yang tidak bernilai dan boleh melayang pada bila-bila masa sahaja,” katanya lagi.

Oleh itu, ujar beliau DPPM menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin PR dan rakyat umumnya khususnya menjelang pilihan raya umum yang bakal tiba.

“Suhu politik negara sudah semakin panas dan PDRM perlu menjangkakan sesusatu yang lebih buruk mungkin terjadi menimpa pemimpin PR atau penyokong mereka pada bila-bila masa,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: