30 Oktober 2012
Pengusaha nira dianggap gila
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - PERLIS - Dicaci dan dikhianati. Itulah yang terpaksa ditempuhi seorang pengusaha nira apabila usahanya untuk membina taman nipah dianggap sia-sia dan gila oleh sebahagian individu yang tidak bertanggungjawab.
Namun, Khipli Sulaiman, 52, kini mampu tersenyum bangga apabila usahanya menanam 2,000 pokok nipah sejak tahun 2000 membuahkan hasil sehingga taman nipahnya dikenali umum, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.
Menurutnya, dia pernah dianggap gila oleh segelintir masyarakat kerana menanam pokok nipah di kawasan rizab, namun semangatnya tidak pernah luntur untuk meneruskan usahanya menanam pokok nipah itu di tanah seluas satu hektar.
Jelasnya, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori, namun disebabkan kesihatannya yang tidak mengizinkan dia mengambil keputusan untuk membersihkan sebidang tanah rizab berhadapan rumahnya untuk menanam sayur-sayuran.
“Saya dan isteri, Rafilah Abdul Ghani, 45, bertungkus lumus membersihkan kawasan rizab ini, sebelum kami tanam nipah kami pernah mencuba menanam pelbagai tanaman lain tetapi hasilnya tidak begitu menggalakkan lalu saya nekad menanam nipah kerana terfikir tanaman itu banyak faedahnya.
“Setelah melihat pokok nipah, saya mendapat idea untuk menjadikan kawasan ini sebagai taman nipah di mana pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kesegaran nira, malah pada masa sama dapat menikmati keindahan taman nipah,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Nipah miliknya dekat sini.
Pelbagai cabaran
Tambahnya, bukan mudah baginya dan isteri untuk mengecapi kejayaan terbabit kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang dilakukan segelintir individu tidak bertanggungjawab dan iri hati terhadap kejayaan yang dicapainya.
Khipli terpaksa menanggung sejumlah kerugian apabila 40 mayang nipah miliknya yang mencapai usia matang dan boleh dituai untuk dijadikan nira dipenggal pihak terbabit.
Katanya, dia mula menyedari kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi semasa sedang mengumpul nira dan mendapati 40 tandan buah nipah berselerak dipercayai dipotong dan menyebabkan pendapatannya terjejas.
“Bukan itu sahaja, bukan itu sahaja, tanaman nipah saya pernah dipotong dan diracun menyebabkan saya terpaksa menanam semula. Pernah juga racun dimasukkan ke dalam plastik nira saya.
“Namun dengan kekuasaan yang Maha Esa, nira bertukar warna kebiru-biruan dan saya mengesyaki mereka cuba menakut-takutkan saya supaya berhenti mengusahakan perniagaan saya,” katanya.
Katanya, disebabkan pelbagai perbuatan khianat itu, Khipli membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya individu terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.
Nikmati hasil
Kini Khipli sekeluarga gembira kerana hasil usaha mereka sejak 12 tahun lalu, taman nipah mereka menjadi tumpuan umum dan destinasi pelancongan di negeri ini.
“Baru-baru ini, taman nipahnya menjadi antara lokasi pilihan penggambaran sempena ‘Islamic Fashion Festival’ di Perlis, malah ada juga kumpulan penuntut dari institusi pengajian tinggi (IPT) memilih taman nipah saya sebagai rujukan dan kajian.
“Alhamdulillah berkat kesabaran saya dan isteri kejayaan milik kami dan kami akan terus berusaha memperkenalkan kelebihan nipah di mata umum.
“Nipah adalah tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaannya, airnya bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga malah ianya juga boleh dijadikan cuka, manisan dan sebagainya,” katanya.
Agency
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan