30 Oktober 2012
Teras gesa semak status semua Tanah Rizab Melayu
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa semua kerajaan negeri menyemak semula dan mengeluarkan laporan audit status Tanah Rizab Melayu (TRM) secara terperinci dan yang terkini.
Mengikut data dari sumber JKPTG 2009 yang dikemaskini, jumlah TRM yang digazet di bawah Enakmen Rizab Melayu negeri-negeri ialah 4.08 juta hektar.
Namun data tersebut adalah data dalam rekod JKPTG. Belum ada pecahan data bagi setiap daerah disetiap negeri yang menyatakan secara terperinci mengenai keluasan, tanah kategori apa dan dimana lokasi TRM.
Kami mendapati bahawa isu TRM sangat serius kerana aset orang Melayu dalam soal hartanah sangat meruncing apatah lagi bila banyak kawasan perkampungan Melayu sama ada di bandar mahu di desa sudah diambilalih dan berpindah milik kepada bukan Melayu sepanjang tempoh selepas kemerdekaan dicapai.
Trend TRM semakin terhakis amat ketara apabila pembangunan yang diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan telah mengakibatkan TRM telah dikeluarkan dari warta dan TRM yang diambilalih itu tidak pula diganti.
Fenomena pengincupan TRM di negeri-negeri tidak didedahkan secara telus. Oleh kerana itu terdapat catatan TRM yang ada di dalam rekod pejabat tanah, namun bila disemak di kawasan yang sebenar tanah tersebut sudah dimilikki oleh bukan Melayu.
Adalah dikhuatiri rekod TRM yang ada di pejabat tanah bukan status sebenar kerana walaupun tanah TRM masih ada mengikut rekod akan tetapi di lokasi sebenar tanah tersebut sudah pun dimiliki oleh orang bukan Melayu.
Demikian pula dalam soal penggantian TRM yang dikeluarkan dari warta. Terdapat banyak kes, ia tidak diganti sebagaimana sepatutnya mengikut Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perlembagaan jelas melupuskan dari warta Enakmen Rizab Melayu perlu diganti dengan saiz dan jenis yang sama.
Demikian pernyataan dalam syarat-syarat pengisytiharan Enakmen Rizab Melayu (ERM) iaitu "Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan] "
Akibat kepesatan pembangunan sejak negara mencapai kemerdekaan, kebanyakan TRM menjadi sasaran untuk ditukar syarat dan dipindah milik kepada status tanah bebas sehingga dorongan untuk menjual tanah kepada bukan Melayu menjadi sangat berleluasa.
Setakat ini masyarakat tidak pernah mendapat maklumat secara telus mengenai status TRM di negeri-negeri. Pada hal memantau status TRM sangat penting kerana ia boleh mengambarkan kedudukan hartanah orang Melayu dari sudut saiz, nilai dan lokasi serta kesan sosio-ekonomi dan politik yang bakal berlaku.
Kami memandang serius kedudukan TRM yang terhakis bila kerajaan sendiri cenderung menggalak orang Melayu menjual tanah apabila nilai tanah dianggap sudah mencapai kadar yang tinggi. Kerajaan sendiri yang sering menekankan pembangunan sangat perlu, lantaran itu orang Melayu diminta berkorban untuk memberi laluan kepada pembangunan.
Apatah lagi Akta Pengambilan Tanah 1960 telah memperluaskan kuasa kerajaan untuk mengambil semula tanah atas alasan pembangunan ekonomi.
Logik yang sering diutarakan oleh kerajaan yang bersekongkol dengan pihak swasta ialah bila pembangunan dilaksanakan maka nilai tanah milik Melayu akan naik harga dan dengan itu orang Melayu sepatutnya jangan menghalang sebarang pembangunan.
Padahal begitu banyak kes yang berlaku bila pampasan yang dianugerah kepada tuan tanah Melayu jauh lebih rendah dari kadar yang sepatutnya. Sebaliknya setelah TRM ditukar kepada tanah komersial, tanah itu dijual pula dengan harga yang berlipat kali ganda.
Ditambah lagi bila orang Melayu kehilangan TRM yang tergadai kerana hutang dan akhirnya terpaksa melepaskan tanahnya akibatnya tindakan undang-undang yang diambil ke atasnya.
Kami khuatir kehilangan TRM akan memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang kepada nasib orang Melayu. Realiti orang Melayu akan menghadapi krisis "miskin tanah" akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih parah.
Sejak tanah bukan lagi dilihat sebagai tapak warisan dan khazanah pembangunan tamadun, orang Melayu banyak mengambil jalan pintas untuk menjadi kaya dengan dengan menjual tanah walhal wang tunai yang diperolehi tidak boleh bertahan lama untuk disimpan.
Akibat dari itu, TRM turut menjadi komoditi yang dijual dan akhirnya mengakibatkan hartanah milik Melayu semakin berkurangan. Kini oleh kerana akses kepada kawasan TRM lebih mudah, nilainya meningkat dari sebelumnya. Malah bila ia dikeluarkan dari warta TRM, nilai tanah menjadi berlipat kali ganda sehingga pemilik terdorong untuk menjualnya.
Dari segi ekonomi mungkin kerana wang tunai yang akan diperolehi dianggap lebih bermakna, akan tetapi dalam jangka masa panjang orang Melayu akan menghadapi krisis yang serius kerana hartanah semakin berkurangan dan tapak penempatan orang Melayu akan pupus.
Kami berpendirian sudah sampai masanya kedudukan TRM diaudit dengan terperinci untuk memastikan data dalam rekod pejabat tanah di negeri-negeri yang ada, selaras dengan kenyataan sebenar.
Kami menggesa supaya semua kerajaan negeri mendedahkan status TRM terkini supaya krisis yang mungkin tercetus akibat orang Melayu yang kehilangan TRM dapat diatasi segera.
Sebarang pembangunan yang melibatkan TRM hendaklah disemak semula untuk menilai sama ada kesan kepada kehilangan TRM akan merugikan orang Melayu dalam jangka masa panjang.
Penulis ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu.
Harakah Daily
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan