30 Oktober 2012

PAS gesa siasat blogger dedah dokumen 'rahsia'

14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - IPOH: PAS Perak menggesa pihak polis menyiasat butiran yang didedahkan oleh dua blogger pro-Umno berhubung isu Rumah Perak di Batu Feringgi, Pulau Pinang. Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri berkata, Blog ‘PerakCyberTrooper.com’ dan ‘Bicara Perjuangan’ telah mendedahkan butiran yang dikatakan perjanjian usaha sama antara Kerajaan Negeri Perak dengan sebuah syarikat untuk menguruskan Rumah Perak selama 30 tahun. Salman berkata, jika ianya benar butiran perjanjian tersebut adalah sulit serta terikat dan tertakluk atas Akta Rahsia Rasmi (OSA) bermakna ianya tidak boleh didedahkan kepada umum. Katanya, tindakan mendedahkan dokumen ini ternyata bertentangan dengan akta tersebut dan ianya boleh didakwa. “Kami hairan bagaimana dokumen rasmi boleh didedahkan secara umum oleh blogger tersebut. “PAS mempersoalkan bagaimana blogger pro-Umno ini mendapat dokumen tersebut yang diklasifikasikan sulit dibawah kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh baru-baru ini. Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri menjelaskan, butiran dokumen tersebut tidak diketahui kesahihannya. Justeru, Salman berkata, PAS Perak menggesa Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan adakah butiran dokumen yang didedahkan oleh blogger tersebut adalah benar atau palsu. “Kami menggesa pihak polis menyiasat pendedahan ini dan mendakwa kedua-dua blogger itu jika penjanjian tersebut adalah dibawah Akta Rahsia Rasmi. “Kami mahukan kesahihan butiran dokumen itu kerana ianya membabitkan soal urus tadbir dan harta negeri,” tegas beliau. Hadir sama membuat laporan polis ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri, Safarizal Saleh; Peguam Pemuda PAS Negeri, Mohd Fitri Asmuni; dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Negeri, Muhammad Basyir. Harakah Daily

Tiada ulasan: