23 Muharram 1433H. [MOD] -
AMPANG JAYA: “Ini bukan kejadian pertama sebaliknya berlaku kali
kedua seingat saya dalam tempoh empat ke lima tahun,” kata Siti Hatijah
Samah, 44, ketika diminta mengulas mengenai penemuan bayi perempuan yang
ditemui baru dilahirkan di halaman rumahnya di Kampung Pandan Dalam, di
sini, kira-kira jam 5 pagi, semalam.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi
ibunya, Fatimah Bee Ahmad Khan, 70, yang menemui bayi perempuan
terbabit.
“Sebaik dimaklumkan, saya segera pulang ke rumah sebelum menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya yang memberitahu ketika malam kejadian, dia bermalam di sebuah lagi rumahnya di Sungai Besi.
Fatimah Bee berkata, dia yang bangun untuk bersiap-siap sementara
menunggu masuk waktu solat Subuh tiba-tiba terdengar tangisan bayi yang
kuat.
“Saya kemudian memanggil Tohi Taib, 50, yang menyewa di rumahnya itu untuk keluar bagi melakukan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui wartawan di rumahnya, di sini, semalam.
Menurutnya, selepas dimaklumkan Tohi bahawa dia menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat, dia mengarahkan supaya bayi malang itu dibawa masuk ke dalam rumah.
“Saya bimbang jika dibiarkan di halaman rumah, bayi terbabit akan mati kesejukan,” katanya.
Katanya, ketika bayi itu ditemui, dia dibalut dengan kain batik yang dipenuhi darah.
“Malah, laman rumah saya juga dipenuhi darah menyebabkan yakin wanita terbabit melahirkan bayi di kawasan berkenaan,” katanya.
Fatimah Bee berkata, dia kemudian menghubungi anak perempuannya, Siti Hatijah dan memintanya supaya pulang segera.
“Kira-kira 20 minit kemudian, Siti Hatijah tiba di rumah sebelum dia menelefon pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.
Katanya, sepasukan polis bersama ambulans tiba di rumahnya kurang 10 minit kemudian sebelum membawa bayi berkenaan ke hospital berhampiran.
Ditanya mengenai keadaan bayi terbabit, Fatimah Bee dan Siti Hatijah berkata, bayi itu berada dalam keadaan sihat.
“Kulitnya (bayi) cerah dan comel...jika boleh diambil sebagai anak angkat, kami sekeluarga sanggup berbuat demikian,” katanya.
Wartawan yang bertanya mengenai tindakan pihak berkuasa yang tiba di rumahnya itu, Fatimah Bee berkata, polis memeriksa halaman rumah dan mengambil kain batik yang digunakan untuk membalut bayi itu.
“Malah, ada polis juga mengambil keterangan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan