23 Muharram 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada Pemuda Umno
Bahagian Gombak, Selangor kerana telah membantu Pakatan Rakyat untuk
mempamerkan sifat sebenar Umno dan Barisan Nasional yang ganas dan tidak
bertamadun seperti di dalam kejadian ‘serangan’ terhadap program
anjuran Pakatan Rakyat di Batu 8, Gombak Utara kelmarin.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, kejadian tersebut juga
telah memperlihatkan sikap berpura-pura Ketua Pemuda Umno Bahagian
Gombak yang menafikan keganasan pemuda Umno Gombak sedangkan banyak
rakaman pada malam tersebut telah membuktikan sebaliknya.
Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa sangat kesal
dan mengecam tindakan ganas tersebut dan meminta supaya pihak yang
berwajib menyegerakan siasatan yang terperinci serta membawa pihak yang
bersalah untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga tidak menolak kemungkinan yang
Umno dan Barisan Nasional sememangnya cukup terdesak untuk memulihkan
imej mereka yang sudah ‘rosak’ di mata rakyat sehingga sanggup bertindak
ganas dan ‘berlakon’ sebagai mangsa keadaan semata-mata untuk meraih
simpati rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, pihaknya penuh yakin dan percaya bahawa pihak Pakatan
Rakyat tidak pernah mencetuskan sebarang kekacauan di dalam setiap
program yang telah dilaksanakan sehingga ke hari ini kerana ‘track
record’ penganjuran program Pakatan Rakyat selama ini adalah bersih dan
cemerlang.
Tegasnya, Pemuda PAS Selangor dengan ini memberikan amaran yang keras
kepada Pergerakan Pemuda Umno Selangor supaya menasihatkan Pemuda Umno
bahagian mereka untuk berpolitik secara berhemah dan ‘gentleman’.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersedia untuk menyahut cabaran
Pemuda Umno sekiranya mereka berterusan untuk membuat provokasi seperti
ini di masa hadapan,” tegasnya lagi.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan