07 Disember 2012

Laluan ibarat ‘sungai’ kecil

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Keadaan paip bocor di hadapan sebuah rumah di Lorong 2 Taman Mawar Indah, Ketari.
Keadaan paip bocor di hadapan sebuah rumah di Lorong 2 Taman Mawar Indah, Ketari.
 
BENTONG – Penduduk di Lorong 2 Taman Mawar Indah, dekat sini, mahu tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah paip bocor di hadapan sebuah rumah di kawasan itu.

Penduduk, Ismail Fahmi, 40, berkata, paip bocor itu menyebabkan air mengalir tanpa henti di hadapan beberapa rumah penduduk ibarat ‘sungai’ kecil.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan kerana menyebabkan kawasan di hadapan rumah terbabit berair dan kotor.

“Air daripada paip bocor itu sentiasa mengalir kemudiannya bertakung di hujung jalan.

“Kami bukan sahaja tidak selesa dengan keadaan itu malahan bimbang kerana lama-kelamaan akan berlaku mendapan tanah,” katanya.

Ismail berkata, sebelum ini ada kerja baik pulih dijalankan, namun tidak berhasil sebaliknya menjadi lebih teruk.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil untuk menangani masalah itu kerana sekiranya dibiarkan, keadaan tersebut dikhuatiri menyebabkan insiden tidak diingini berlaku.

“Air mengalir daripada paip bocor jelas membazir kerana terbiar begitu sahaja. Kadangkala bekalan air di rumah penduduk terganggu kerana masalah tersebut,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati paip bocor itu berada di hadapan sebuah rumah tidak berpenghuni seterusnya mengalir ke kediaman penduduk berhampiran.

sinar/-

Tiada ulasan: