07 Disember 2012

Kecewa tanah bertukar milik

23 Muharram 1433H. [MOD] -

Kecewa tanah bertukar milik
Anuar menunjukkan beberapa dokumen yang diragui berkenaan penukaran hak milik tanah terbabit.
BANDAR TUN RAZAK - Seorang anak peneroka Wilayah Jengka kecewa apabila mendapat tahu tanah pusaka milik arwah ayahnya bertukar hak milik tanpa pengetahuannya.

Anak peneroka tersebut yang hanya mahu dikenal sebagai Anuar berkata, penukaran hak milik tanah terbabit kepada nama arwah abangnya hanya diketahui sebaik sahaja mendapat berita kematian abangnya itu.

“Pada 1985, arwah ayah meninggal dunia dan saya dan tujuh beradik saya dipanggil pihak pengurusan Felda untuk menandatangani borang menyerahkan urusan tanah terbabit kepada abang saya sebagai pemegang amanah.

“Ketika itu, saya masih lagi di bawah umur dan belum mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.

Katanya, pada 2005, abangnya sebagai pemegang amanah pula meninggal dunia dan ketika itu, dia mendapati hak milik tanah telah bertukar nama kepada arwah abangnya.

“Saya dan adik beradik tidak mengetahui perkara ini sehinggalah kami melihat sendiri geran tanah tersebut.

“Kami keliru kerana bagaimana geran tanah tersebut bertukar hak milik tanpa pengetahuan kami. Setelah disiasat, saya mendapati geran tanah tersebut bertukar hak milik sebaik sahaja peneroka habis membayar hutang dan geran tersebut diserahkan kepada mereka,” katanya.

Menurut Anuar, hasil siasatan yang dilakukan, dia mendapati terdapat pemalsuan dokumen berkenaan pertukaran nama hak milik tanah terbabit.

“Kini isteri arwah abang saya pula hendak membuat tuntutan menukar nama geran tersebut kepada namanya, dan kami telah membuat kaviet dengan meletakkan nama salah seorang abang saya,” katanya.

Menurutnya, dia dan adik-beradiknya kecewa dengan pengurusan Felda ketika itu yang mengambil sikap sambil lewa terhadap penukaran hak milik tanah tersebut.

“Saya tidak faham mengapa begitu mudah penukaran hak milik tanah itu dibuat. Saya juga kecewa kerana setakat ini masih tidak ada sebarang tindakan dilakukan pihak pengurusan Felda terbabit.

“Kami adik-beradik bukanlah mahukan wang durian runtuh atau mahu menghalau kakak ipar kami keluar dari rumah itu, kami cuma mahu tanah itu dikekalkan hak milik kepada anak-anak arwah ayah kerana banyak kenangan manis kami semasa di awal kemasukan ke tanah rancangan itu suatu ketika dahulu,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: