03 Disember 2012

Laporan media tidak tepat isu selatan Thai

16 Muharram 1433H. [MOD] -


KOTA BHARU: Pemimpin masyarakat Islam  di Thailand menyifatkan banyak laporan media mengenai pergolakan di selatan negara itu tidak tepat dan bukan mencermin situasi sebenar.

Anggota Jawatankuasa Majlis Ulama Thailand, Ustaz Harun Salleh Nadawi (gambar) berkata, banyak maklumat yang disalurkan melalui media massa kurang tepat kerana dikawal orang bukan Islam.

Oleh itu katanya, penduduk Islam di negara itu sekarang mengusahakan saluran media sendiri termasuk menggunakan kemudahan teknologi baru bagi membolehkan umat Islam di tempat lain mendapat maklumat lebih tepat.

“Malah ada usaha untuk memiliki channel yang menyalurkan maklumat dalam bahasa Melayu,” katanya pada Kongres Dunia Islam 2012 di sebuah hotel di sini semalam. Beliau sekarang tinggal di Bangkok.

Beliau bersama Senator Anang Sharifuddin dari Indonesia membentang syarahan berkisar tajuk Perpaduan Islam Sejagat: Ke Arah Peraturan khalifah.

Turut menjadi peserta kongres berkenaan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan pegawai-pegawai kerajaan.

Harun berkata, peristiwa berdarah yang mulai meletus di selatan Thailand iaitu di Takbai, Natathiwat dan Kerisik, Patani sekarang sudah merebak sehingga ke Hatyai.

Katanya, kehidupan umat Islam di selatan Thailand sentiasa tertekan dengan kehadiran begitu ramai anggota tentera dan polis sekarang.

Beliau juga mempersoalkan pemimpin-pemimpin politik yang dianggapnya kurang serius menangani konflik di selatan dan hanya muncul menjelang musim pilihan raya sahaja.

Menurutnya juga konflik yang berlaku memberi peluang kepada kumpulan samseng dan pengedaran dadah mengambil kesempatan sehinggga memburukkan lagi keadaan.

“Kumpulan samseng ambil kesempatan. Masalah dadah tidak kurang hebatnya. Itu tidak bagus untuk umat Islam.

“Kami haya mengharapkan doa umat Islam termasuk di Malaysia. Bagaimanapun proses tarbiah kepada umat Islam di Thailand terus berjalan dengan peranan dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam,” ujarnya.

Beliau juga mengakui dasar asimilasi menyebabkan ramai generasi muda di Thailand sekarang tidak lagi fasih berbahasa Melayu.

Anang Sharifuddin (kiri) mewakili Partai Keadilan Sejahtera (PKS) mendedahkan masih ada umat Islam di Indonesia berpecah belah angkara perkara kecil yang hanya bersifat khilaf dari sudut agama.

Katanya, pihak yang menekan aspek tersebut masing-masing membentang hujah sehingga memperlihatkan percanggahan besar dalam kalangan umat Islam.

“Sedangkan Islam meminta penganutnya mengambil jalan tengah dan tidak membesar-besarkan perkara-perkara yang kecil,” ujarnya.

Menjawab soalan Ustaz Abu Bakar katanya, biar pun muncul banyak parti berorientasikan Islam di Indonesia namun ia tidak menggambarkan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam.

Katanya, biar pun banyak namun masing-masing sedang bergerak menuju ke arah satu matlamat.

“Bagaimanapun saya doakan semoga situasi itu tidak berlaku di Malaysia, biarkan hanya ada satu parti politik Islam sahaja di sini,” ujarnya.

harakah/-

Tiada ulasan: