26 Disember 2012

Penduduk Pengkalan Kubur tunggu janji ditepati

12 Safar 1433H. [MOD] -


TUMPAT: Setiap kali musim tengkujuh empat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubur bertukar menjadi seperti “lautan” kerana di mana sahaja air memenuhi kawasan.

Kampung Simpangan, Kubang Sawa, Bendang Pak Yong dan Juluk tidak lagi kelihatan daratan, semuanya dipenuhi air hujan dan limpahan Sungai Golok.

Masalah yang berulang sejak sekian lama itu sudah diketengahkan kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara sudah melawat kawasan berkenaan.

Susulan itu ada pula lawatan pegawai kanan kerajaan dari kementerian berkaitan. Malangnya sehingga hari ini tiada usaha dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rusli Wan Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan pusat bercadang membina sistem pintu air bagi menghalang limpahan air Sungai Golok di musim tengkujuh.

“Malangnya sehingga sekarang cadangan projek berkenaan tidak menjadi kenyataan. Pembinaan sistem pintu air penting memandangkan kedudukan empat kampung tersebut begitu rendah.

“Malah dengan adanya sistem kawalan berkenaan boleh menghalang limpahan air masin dari Sungai Golok yang boleh merosakkan tanaman padi,” katanya di sini.

Beliau yang tinggal di Kampung Bendang Pak Yong juga menjadi mangsa banjir, apabila di kawasan rumahnya sudah ditenggelami air di paras pinggang.

Menurutnya juga kesan pembinaan jalan keselamatan di kawasan sempadan yang dikenali jalan Kesban juga menjadi punca air hujan tidak dapat keluar ke sungai.

Kata beliau projek jalan tersebut yang tidak dibina banyak laluan air menyebabkan air hujan bertakung dan ditambah limpahan air sungai menyebabkan kawasan rendah mudah tenggelam.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan pusat menyegerakan projek berkenaan memandangkan banjir yang berlaku mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk surut.

Beliau juga berkata, sehingga pagi tadi seramai 17 keluarga (65 orang) berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur II.

“Saya sudah meninjau kawasan-kawasan yang ditenggelami air dan hari ini bantuan berupa makanan akan diagihkan kepada mereka,” ujarnya.

Sementara itu di Pasir Mas, Adun Meranti, Datuk Nasuruddin Daud memindahkan penduduk yang terbabit dengan banjir ke pusat pemindahan yang disediakan.

Beliau memandu sendiri bot bagi memunggah penduduk kerana bimbang paras air semakin meningkat disebabkan hujan masih turun di kawasan hulu dan limpahan air Sungai Golok.

Di Kuala Krai, Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman sejak kelmarin menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terbabit dengan banjir termasuk di Kampung Chenulang, Telekong, Pak Jelak dan Bedal.

Begitu juga di Dun Manek Urai, wakil rakyat kawasan berkenaan, Mohd Fauzi Abdullah petang semalam menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk di Kampung Manek Urai Lama dan Mesek yang ditenggelami air limpahan Sungai Lebir.

harakah/-

Tiada ulasan: