26 Disember 2012

‘Saman Ekor’ atau Perangkap Kelajuan Tidak Adil Kepada Pengguna Jalanraya

12 Safar 1433H. [MOD] -

MIRI – 'Saman Ekor' atau perangkap kelajuan yang dikenakan kepada pengguna jalanraya amat mengelirukan dan tidak adil kepada pengguna jalanraya. Antara masalah yang menjadi persoalan kepada pengguna jalanraya ialah tiada tanda amaran atau peringatan kepada pengguna jalanraya terutama sekali di kawasan yang dilarang memandu laju.

Baru-baru ini kita menerima banyak aduan dari pengguna jalanraya tentang masalah saman ekor yang dikenakan keatas mereka. Salah seorang pengadu, Abu Anak Alui tidak puas hati terhadap saman yang dikenakan keatasnya, antara sebabnya ialah tarikh saman yang terdapat dalam surat saman dan tarikh dalam gambar agak mengelirukan.

Tarikh saman dalam gambar tercatit pada bulan Mei tetapi dalam surat saman tercatit pada bulan September. Beliau juga tidak puas hati kerana tiada tanda amaran di kawasan dimana beliau dikenakan saman ekor oleh pihak polis.

Pihak polis atau pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya meletakkan tanda amaran atau peringatan di kawasan dilarang memandu laju untuk mengingatkan pengguna jalanraya supaya memandu perlahan.

Pengguna jalanraya berhak tahu mengapa mereka mesti disaman di kawasan yang tiada tanda amaran. Sudah tentu pengguna jalanraya yang mengguna lebuhraya tidak perasan apabila memandu laju kerana kalau memandu secara perlahan sudah pasti boleh menyebabkan pemandu rasa bosan dan mengantuk terlebih lagi jalan jauh yang tidak banyak kenderaan. Lagi pun jalanraya atau lebuhraya di Sarawak agak berliku-liku dan jalan tidak rata.

Mereka terasa terlalu beban untuk membayar saman ekor tanpa mengetahui kesalahan sebenar mereka walaupun ada gambar yang dirakam oleh pihak polis. Pengguna jalanraya juga berhak mengetahui, adakah mesin yang merakam kelajuan kenderaan tersebut, sama tercatit dengan kelajuan yang tercatit dalam meter kenderaan yang dipandu oleh pengguna jalanraya?

Berapa lama jangkahayat bateri perangkap kelajuan tersebut boleh bertahan, setelah digunakan dan adakah ianya dijamin boleh mencatit tepat dengan kelajuan sebenar kendaraan yang dirakam. Mengapa pihak polis mesti bersembunyi di celah-celah pokok atau sebagainya untuk merakam pemandu laju?  Adakah tujuan mereka semata-mata untuk menyaman atau menjaga keselamatan pengguna jalanraya?
Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa sebelum mengenakan saman kepada pengguna jalanraya untuk mengelak salah faham.

Kita mencadangkan kepada pihak berkuasa agar setiap jalanraya yang hendak melakukan saman ekor atau perangkap kelajuan perlu diletak tanda amaran atau tanda peringatan agar pemandu lebih berhati-hati memandu dalam kawasan tersebut.  Pihak polis atau JPJ perlu memberi amaran kepada pengguna jalanraya sebelum menyaman mereka, ada kemungkinan mereka ada masalah atau ada kecemasan ketika itu yang menyebabkan mereka terpaksa memandu laju.  Kalau pengguna jalanraya masih juga melanggar peraturan jalanraya atau degil, pihak polis atau JPJ boleh mengambil tindakan yang sewajarnya keatas mereka.

Apalah ertinya menyaman pengguna jalanraya, sedangkan masalah keselamatan di jalanraya masih belum dapat diatasi sepenuhnya. Kita mengesa pihak berkuasa mengkaji semula saman ekor ini yang dijalankan sekarang kerana ianya tidak adil kepada pengguna jalanraya tanpa mengetahui kesalahan mereka yang sebenar.   Carilah keadah atau jalan penyelesaian yang terbaik selain menyaman untuk mengatasi masalah keselamatan jalanraya agar ianya memberi kebaikan untuk semua. Kita tidak menentang peraturan jalanraya tetapi biarlah ianya adil dan tidak menyusahkan pengguna. Keselamatan jalanraya memang patut diberi keutamaan demi kebaikan untuk semua.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: