15 Februari 2013

42 NGO terus desak kerajaan cepat tubuh IPCMC

IPCMC4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 15 FEB: Sekumpulan 42 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Hentikan Keganasan Negeri terus mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Gabungan NGO itu mahu penubuhan IPCMC ekoran beberapa insiden keganasan dan pencabulan kuasa polis secara meluas hingga menyebabkan kematian orang awam.

Menurut mereka, IPCMC penting untuk memastikan tiada lagi keganasan dan tuduhan palsu untuk mewujudkan persekitaran selamat.

Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez berkata, penubuhan IPCMC wajib disegerakan supaya keganasan dan penyalahgunaan kuasa polis dapat dihentikan.

“Hampir setiap hari ada saja berita penyalahgunaan kuasa seperti kematian dalam tahanan, tembakan polis terhadap orang awam, salah guna kuasa terhadap suspek, penahanan tanpa mengikut undang-undang dan banyak lagi. Ia hendaklah dihentikan.

“Kami desak Datuk Seri Najib (Razak) dan pentadbirannya prihatin ke atas mangsa yang teraniaya agar segera melaksanakan IPCMC,” katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), pagi tadi.

Gerakan Hentikan Keganasan Negeri ditubuhkan pada Oktober lalu, bertujuan menamatkan tragedi tembakan polis terhadap orang awam dan kematian dalam tahanan.

Penyelaras Suaram, Wong Kar Fai berkata, siri kematian dalam tahanan seperti terbaru menimpa C Sugumar menuntut supaya penubuhan IPCMC dipercepat.

“Kerajaan perlu bertindak tegas kerana saban hari rakyat makin hilang kepercayaan terhadap polis. IPCMC tidak boleh dilengah-lengahkan. Dikhuatiri ramai lagi rakyat akan menimpa nasib sama,” katanya.

“Apa yang terjadi kepada Sugumar, Cheah Chin Lee, Aminulrasyid (Hamzah) dan lain-lain mangsa mungkin bakal terjadi kepada sesiapa sahaja.

“Pembunuhan dan salah guna kuasa polis adalah serius tanpa kesudahan. Jika berterusan ia mengancam kesejahteraan negara dan kedaulatan undang-undang,” kata Wong.

Turut sama mewakili NGO itu, Lawyers For Liberty (LFL).

Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.

Polis menuduh IPCMC menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, bertentangan dengan undang-undang, bercanggah dengan perlembagaan, mencabul keadilan semulajadi, boleh mengakibatkan anarki, bersifat diskriminasi, menafikan keadilan dan mengkompromikan perintah Ketua Polis Negara.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: