15 Februari 2013

Terserah SPR jika mahu p'raya serentak dengan S'gor

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Tepulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada mahu menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serentak dengan Selangor atau tidak, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menegaskan, SPR mempunyai tempoh 60 hari selepas beliau mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan adalah tanggungjawab SPR untuk menyesuaikan tarikh pilihan raya serentak dengan parlimen jika badan itu tidak mahu pilihan raya Dun Selangor dilakukan berasingan.

“Apabila saya umumkan pembubaran, SPR mesti mengadakan PRU-13 dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dun Selangor.

“Terpulang pada SPR untuk sesuaikan tarikh dengan Kerajaan Pusat, namun jika tidak sesuai, saya buat pilihan raya dulu, dan jika sesuai kita buat pilihan raya sama,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Ketiga di Klang pagi tadi.

Sebelum ini, beliau mengumumkan akan mempertimbangkan untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal iaitu selepas sambutan Chap Goh Mei hujung bulan ini jika Perdana Menteri masih berteka-teki untuk membubarkan parlimen.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesesuaian tarikh yang bakal diumumkan oleh SPR itulah yang akan menjadi penentu sama ada PRU-13 akan diadakan serentak atau berasingan.

Menurut Abdul Khalid, rakyat kini sudah tidak sabar dan tertunggu-tunggu tarikh PRU-13 dan ia turut membantutkan perkembangan sektor ekonomi di negeri ini.

“Rakyat sudah tertanya-tanya bila PRU-13, jadi rakyat tak buat kerja, asyik tunggu pilihan raya, keputusan pelaburan pun tak buat, sektor peniagaan pun tunggu pilihan raya.

“Lagi lama pilihan raya hendak diadakan, lagi lambat ekonomi membangun,” ujarnya.

harakah/-

1 ulasan:

Hazri berkata...

Hidup Tan Sri Khalid....