15 Februari 2013

Ikatan pohon perintah mahkamah lulus pendaftaran

4 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD]

KUALA LUMPUR: Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Abdul Kadir Sheikh Fadzil hari ini memohon perintah mahkamah bagi mengarahkan kerajaan mendaftarkan parti itu.

Permohonan itu dibuat melalui peguamnya, Murni Hidayah Anuar di Mahkamah Kuala lumpur, Jalan Duta dekat sini.

Menurut Kadir, beliau membuat keputusan untuk ke mahkamah selepas tiada apa-apa jawapan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan untuk mendaftarkan Ikatan sebagai parti.

"Permohonan dibuat bulan Jun tahun lepas. Saya berjumpa dengan pegawai pendaftar, pendaftaran dibuat mengikut prsedur dan pihak ROS pun tak ada panggil saya nyatakan apa-apa kesalahan.

"Tapi kenapa sampai hari ini tiada sebarang maklum balas berhubung permohonan saya? kata beliau kepada pemberita di lobi mahkamah.

Beliau kesal kerana kerajaan dilihat seolah-olah sengaja melengah-lengahkan pendaftaran Ikatan.

"Saya nampak kerajaan sengaja lengah-lengahkan untuk beri kelulusan.

"Saya kesal kerana Perdana Menteri keluarkan pelbagai kenyataan berkaitan transformasi. Tapi kalau perkara sekecil ini tak mampu nak uruskan, saya tak nampak keikhlasan kerajaan.

"Sedangkan penubuhan parti terkandung dalam perkara 10 Perlembagaan,' kata bekas Menteri Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Ikatan dilancarkan pada Jun tahun lalu dengan membawa matlamat merapatkan hubungan rakyat Malaysia.

Selain Kadir sebagai Presiden, timbalan-timbalan beliau adalah bekas Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, orang kuat Kelab Rotary Ong Hock Swiew dan bekas Presiden Majlis Peguam Regunath Kesavan.

Pengerusi Koperasi Ukhwah Malaysia Datuk Seri Mustafa Kamal Maulud dinamakan sebagai setiausaha agung.

harakah/-

Tiada ulasan: