06 Februari 2013

Antara import Psy-Korea dengan kebajikan rakyat

25 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: BN melakukan cubaan terkini untuk meraih undi daripada masyarakat kaum Tionghua dengan membawa artis popular Psy dari Korea ke Majlis Rumah Terbuka BN Pulau Pinang pada 11 Februari ini.

“Begitu terdesak BN mahu mengembalikan populariti mereka yang jatuh menjunam dengan melakukan apa sahaja hatta terpaksa mengimport artis lain sebagai umpan tarikan mereka,” Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya, kos membawa artis Psy - yang popular dengan lagu Gangnam Style dikatakan bernilai USD300,000 hingga USD400,000 (RM932,100 hingga RM1,242,800) untuk persembahan ringkas dengan lagu yang dirakam dan juga beberapa orang artis iringan.

Baginya, sekalipun BN menafikan program itu anjuran mereka dengan mendalihkan syarikat swasta gergasi Mega Ultimate yang membayarnya, rakyat tetap melihat ia merupakan suatu pembaziran.

Tambahnya lagi, apalah malang sebuah syarikat digunakan sebagai proksi untuk membelanjakan duit sejumlah itu hanya untuk menghiburkan rakyat.

“Daripada membawa seorang artis popular ke Malaysia dengan persembahan hanya 1 malam, sebaiknya wang tersebut disalurkan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, masih ramai rakyat di negara ini yang hidup di bawah paras kemiskinan, justeru lebih baik pula syarikat tersebut melabur kepada perniagaan lain yang mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Membelanjakan RM1 juta bukan suatu nilai yang kecil untuk satu malam dan hanya untuk seorang artis popular,” katanya lagi.

harakah/-

Tiada ulasan: