06 Februari 2013

Sindiket ubah suai cek dibongkar, rugi RM1 juta

25 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Sindiket ubah suai cek dibongkar, rugi RM1 juta
Mohmad Salleh (tengah) menunjukkan peralatan khas digunakan untuk membuka peti pos dan mengubahsuai cek pada sidang media di ibu negara semalam.
 
KUALA LUMPUR - ‘Mencuri’ surat di peti pos sebelum mengasingkan yang berisi cek untuk diubahsuai dan mengaut keuntungan lebih RM1 juta sejak empat tahun lalu.

Itu dilakukan satu sindiket pengubahsuaian cek yang dilumpuhkan polis apabila seorang suspek diberkas pada 29 Januari lalu ketika sedang berurusan mengambil wang hasil cek yang ditunaikan daripada seorang individu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, sindiket itu dipercayai didalangi lapan individu termasuk dua adik beradik yang menjadi perancang utama kegiatan yang beroperasi di sebuah premis rumah kedai terletak di Jalan Shelly, Cheras, di sini sejak 2009.

Lebih 25 barang rampasan termasuk mesin pencetak pelbagai jenama, komputer riba, kad pencetak, ‘paymaster’, ultra violet, mesin taip, pemutar skru berbentuk T,  botol cecair dalam botol dan 1,321 keping cek pelbagai bank termasuk dua bank luar negara turut dirampas hasil serbuan itu.

Menurutnya, sindiket itu akan bertindak menukar nilai cek, serta beberapa perkara lain untuk ditunaikan melalui pemilik akaun bank berbeza.

“Mereka terlibat dipercayai mencuri surat dari peti pos dan peti pos awam di bangunan kedai dan pejabat menggunakan peralatan khas untuk mencari surat yang mengandungi cek, manakala surat lain dibuang.

“Sindiket ini juga disyaki memohon buku cek untuk pelbagai nama syarikat daripada bank untuk diubahsuai segi nama penerima, nombor akaun dan  nilai cek, yang kebiasaannya diletakkan dalam jumlah yang rendah tidak melebihi RM5,000 mengelakkan dikesan bank,”

katanya pada sidang media di Balai Polis Pudu, di sini, semalam.

Katanya, sebanyak 107 laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berhubung kes kehilangan cek melibatkan kerugian lebih RM1 juta, namun polis percaya kegiatan turut dijalankan di kawasan lain sekitar Lembah Klang.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan terdapat penglibatan penghantar surat dan percaya Pos Malaysia tidak mengetahui kegiatan itu berikutan tiada laporan diterima daripada pihak berkenaan.

Namun, beliau tidak menolak andaian terdapat penglibatan bank dalam kes yang dikategorikan beliau dilakukan dengan profesional.

“Bagaimanapun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana kita masih lagi siasat berhubung kes ini, dan ianya akan diberi perhatian disebabkan ramai mangsa terlibat,” katanya.

Katanya, polis sedang mengesan dua suspek yang menjadi perancang utama dalam sindiket tersebut juga adik beradik.

“Kedua-dua individu itu adalah Lau Chee Chun dan Lau Chee Chong berusia lingkungan awal 30-an dengan alamat terakhir masing-masing di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Bandar Hilir, Melaka,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: