06 Februari 2013

Kenali Gajus

25 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


GAJUS (Anacardium occidentale) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ANACARDIACEAE yang dipercayai berasal dari Brazil dan boleh tumbuh dengan baik di Malaysia. Pokok Gajus atau di pantai timur di panggil 'Ketereh' ini ditanam dikeliling rumah untuk kegunaan sendiri dan pernah di tanam secara komersial di Terengganu oleh Syarikat FIMA pada tahun 1980'an sebagai ladang Komersil di Kg Raja, Setiu dahulu. Kini tanaman gajus di Malaysia tidak begitu popular seperti dibeberapa negara pengeluar utama lain. Keluasan tanaman ini di Malaysia adalah 480 hektar pada tahun 2011.

Nama lain gajus adalah seperti Cashew Nut, Apple Cashew, Cajuana (English), Buah Gajus, Ketereh (Malaysia) dan sebagainya. Artikel ini saya akan bincang teknologi dan maklumat tanaman gajus berasaskan beberapa buah buku dan kajian persendirian dalam laman sesawang serta pengalaman penulis dalam pengembangan pertanian selama 30 tahun.

Pokok Gajus adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan sistem bercabang yang merimbun dengan ketinggian mencecah 12 meter (30 kaki). Pokok gajus mudah tumbuh di kawasan yang kurang subur dan mampu bertahan dalam keadaan kering. Daun berwarna hijau dan agak tebal serta mempunyai susunan bersilang dimana daun muda berwarna ungu kemerahan serta digunakan sebagai ulam yang sangat di minati di Malaysia. Bunga Gajus keluar dihujung dahan atau pucuk dengan bentuk beberapa jambak dan bwerarna kemerahan. Batang bajus adalah kayu keras yang berkulit tebal berwarna coklat kelabu. Buah gajus 'berbentuk hati' dan mempunyai biji berada di luar buah. Bijinya juga berbentuk hati yang juga mempunyai pasaran tinggi untuk di jadikan makanan ringan.

Biji Gajus merupakan bahagian paling berguna iaitu sebagai makanan ringan (snack) yang di proses sehingga kering dengan rasa asli, perasa garam,coklat atau masin-manis. Biji gajus mengandungi 54% lemak dan minyak termasuk lemak tepu (18%0, Lemak Tidak tepu (16%) dan Asid Stearic (7%). Kandungan tenaga sebanyak 2,3-4 Kjoule setiap 100 gm dengan kandungan lain iaitu Protin (18.2 g), Lemak (43.5 g), Karbohiderat (35.1 g) dan Serat (3.3 g). Kandungan lain ialah Riboflavin - Vit B2 (0.06 mg), Thiamine - Vit B1 (0.42 mg), Vitamin C (0.5 mg) dan beberapa zat galian seperti Fe, Ca, Mg, Zn, Mn dan banyak lagi.

Penanaman gajus lazimnya menggunakan biji benih dari kultivar terpilih. Kultivar gajus tidak banyak di buat kajian dan penulisan kerana tanaman ini bukan tanaman penting walau pun di negara pengeluar utama. Pertumbuhan pokok gajus adalah lambat dan perlahan. Beberapa bijibenih gajus diletak dalam satu lubang dan apabila anak benih tumbuh baru di buang yang kurang subur. Ada juga kaedah pembiakan menggunakan 'grafting', 'air layering' dan juga 'inarching' dijalankan. Mengubah anak benih semaian pokok gajus juga tidak begitu mudah kejayaannya. Jarak tanaman di syorkan adalah 10m x 10m dimana kemudian dijarakkan kepada 20 m x 20 m selepas berumur 10 tahun. Kepadatan pokok sebanyak 250 pokok sehektar.

Pokok Gajus lazimnya tidak memerlukan penjagaan yang rumit untuk pertumbuhan. Bagi tanaman gajus digalakan penanamann selingan dengan tanaman kontan seperti pisang, kacang tanah, sayur-sayuran, jagung dan sebagainya untuk menambah pendapatan sementara pokok gajus membesar. Pembajaan dan kawalan musuh dan perosak dijalankan bersama penjagaan tanaman selingan. Bagi tanaman gajus di kawasan tanah Bris perlukan pembajaan tambahan dengan baja organik untuk meningkatkan kesuburan kerana tanah bris sangat kurang mengandungi baja organik.

Pokok Gajus akan mula berbuah selepas 3 tahun penanaman jika dijaga dengan baik. Pada masa sama dahan di bahagian bawah pokok perlu dibuang dan buah boleh di kutip. Anak pokok atau 'suckers' yang tumbuh di keliling pokok juga perlu di takai. Penghasilan akan menjadi optima pada pokok berumur 10 tahun sehingga pokok berumur 30 tahun jika di uruskan dengan baik (Bukan Tanam-Tinggal-Tuai). Bunga lazimnya aktif keluar pada cuaca atau musim panas dan selalunya buah akan matang secara berperingkat2.

Kajian menunjukkan daripada berbunga sehingga buah masak perlukan masa 3 bulan. Buah yang masak akan jatuh ketanah (Bahagian 'apple') akan jadi kering dan bijinya tersembul. Buah yang jatuh akan dikutip dan diasingkan bijinya dan diproses. Jika buah belum cukup matang dan di petik untuk ambil bijinya agak liat dan sukar walaupun menggunakan mesin mekanikal. Biji akan dibuang kulit dan di goreng (tanpa minyak - roasted) sebelum di gredkan dan diberi perisa seperti garam. Biji yang siap diproses di masukan dalam plasitk kedaop udara (Vacuum packed) untuk menjamin kualitinya.

Laporan di negara pengeluar utama gajus dunia sperti di Tanzania, India, Mozambique, Kenya dan Sri Lanka mendapati potensi hasil dicapai antara 800 - 1,000 kh sehektar biji gajus. Kaedah pembajaan yang diurus dengan baik mampu meningkatkan hasil kepada 1,600 kg sehektar seperti dkjalankan di India dan Tanzania. Pokok yang menghasilkan buah yang banyak lazimnya memberikan biji gajus bersaiz kecil dan agak rendah kualitinya. Kajian di Brazil pula menunjukkan potensi penghasilan sebanyak 17.8 kg sepokok dapat di tingkatkan kepada 48.7 kg sepokok dengan aplikasi baja yang betul dan pengurusan tanaman yang sempurna.

Kegunaan biji gajus memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Harga pasaran biji gajus juga agak tinggi iaitu USD 0.33 satu kilogram dan satu paket 100 gram di Langkawi dijual RM 10.00 atau (RM 100/kg). Satu yang unik di Malaysia makan pucuk daun muda gajus untuk djadikan 'Ulam Gajus' yang dimakan dengan nasi dan sambal belacan (Foto kiri). Memang sedap dan menyelerakan ulam pucuk gajus. Kayu pokok gajus juga digunakan di kampung sebagai bahan kayu api untuk masak dan juga bileh diproses untuk dijadikan perabut dan sebagainya. Ada juga produk gajus dibuat alkohol seperti di India untuk kegunaan penduduk tempatan.

Tanaman gajus memang tanaman yang masih ada potensi untuk di tanam di negara kita jika betul-betul ingin melihat tumbuhan ini di menafaatkan.

BUAH GAJUS .... PELIK BUAHNYA ....
ISI DIDALAM....BIJI LUARNYA....
BIJI GAJUS....;SEDAP RASANYA....
PUCUK GAJUS...ULAM TENTUNYA....
Blog Anim Agro

Tiada ulasan: