01 Februari 2013

Kera gigit kepala anak

20 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Kera gigit kepala anak
Mohd Jefry ditenangkan ayahnya yang masih trauma diserang kera.
Kera gigit kepala anak
Hamid bersiap sedia dengan sabit dan kayu untuk menghalau kera sekiranya mengganggu keluarganya.
Kera gigit kepala anak
Zarinah menunjukkan lokasi anaknya diserang kera liar
 
TUMPAT – Hanya maut terlintas di fikiran seorang ibu, Zarinah Abdul Ghani, 39, apabila seekor kera liar menyerang dan menggigit kepala anaknya, Mohd Jefry Roslan, 8, di halaman rumahnya di Kampung Dalam Rhu, 30 Disember lalu.

Mohd Jefry mangsa terbaru serangan kera liar, selain enam lagi penduduk di sini.

Bagaimanapun, Mohd Jefry selamat, begitu juga lima mangsa termasuk seorang warga emas dan ibu mengandung.

Walaupun tiada mangsa terkorban, kira-kira 700 keluarga di sini ketakutan, khuatir kera liar itu kembali menyerang penduduk, kerana kelibatnya sering kelihatan di tempat tumpuan ramai sejak tiga bulan lalu.

70 jahitan

Zarinah berkata, anaknya Jefry terima 70 jahitan apabila kepala, tangan dan lutut digigit kera liar ketika leka bermain bersama kucingnya di halaman rumah.

“Ketika itu anak saya baru pulang dari sesi pendaftaran kemasukan murid darjah dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1.
“Saya pula sedang makan nasi di ruang tamu, tiba-tiba terdengar anak menjerit memanggil saya dan ayahnya.

“Saya menjenguk dan terkejut apabila seekor kera besar berada di atas kepala anak saya sambil menggigit kepala dan tangan anak saya itu,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan panik dia melaung Allahuakbar beberapa kali dan beruk itu melarikan diri ke dalam hutan paya bersebelahan rumahnya.

“Akibat gigitan kera itu, anak saya cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama lapan hari,” katanya.

Ketakutan

Zarinah berkata, sejak kejadian itu, hidupnya tidak tenteram kerana bimbang keselamatan anak-anaknya.
Menurutnya, kini pintu dan tingkap rumah akan dipastikan sentiasa tertutup.

“Saya rela tinggal dalam gelap apabila menutup semua pintu dan tingkap rumah, berbanding diserang kera itu lagi,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Menurutnya, pintu rumahnya akan dibuka apabila suaminya, Hamid Daud, 59, tidak keluar bekerja.

Berwaspada

Hamid berkata, dia sering melihat tiga kera berlegar-legar di belakang rumahnya yang berdekatan hutan paya bakau.

“Hutan paya itu dipercayai menjadi habitat kera, saya sentiasa berwaspada dengan meletakkan sabit dan kayu di setiap pintu dan tingkap rumah.

“Saya bimbang kera liar melompat masuk melalui tingkap, sebab itu senjata tajam diletak berhampiran tingkap dan pintu.

“Sekiranya kera datang menyerang, kami ada senjata untuk melawannya. Setakat ini sudah lapan kali saya nampak kelibat kera itu berlegar-legar berhampiran kawasan rumah saya ini,” katanya.

Trauma diserang

Seorang lagi mangsa, Norzilawati Abd Raziz, 28, berkata, dia diserang kera pada 12 Disember lalu.

Menurutnya yang sarat mengandung, kera itu masuk ke dalam rumahnya ketika dia tinggal bersendirian.

“Ia masuk melalui pintu dapur, saya pula sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Mujurlah saya hanya cedera ringan apabila paha saya dicakar oleh kuku kera yang tajam itu.

“Namun kejadian itu membuatkan saya trauma dan dalam keadaan mengandung ini, saya cukup risau akan menjejaskan kandungan saya,” katanya.

Dalam perhatian


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan memantau kes  itu segera.

“Tindakan menahan perangkap atau langkah bersesuaian akan dilaksanakan segera untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Beliau menasihati mangsa merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi membolehkan mereka mendapat sumbangan di bawah Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas.

sinar/-

Tiada ulasan: