02 Mac 2013

Adik diculik tiga ah long

19 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


MOHD ADNAN

MOHD ADNAN
SHAH ALAM – Seorang lelaki diselamatkan, kelmarin, selepas diculik tiga ah long berikutan kegagalan abang mangsa melunaskan pinjaman sebanyak RM9,000.

Mangsa, berumur 23 tahun, diculik di rumahnya di Taman Emas, Kampung Jawa, Klang, Rabu lalu.

Penculik kemudiannya menghubungi abang mangsa, kira-kira jam 1.30 petang dan menuntut wang tebusan yang kononnya sebagai bayaran pinjaman.

Khuatir dengan keselamatan adiknya itu, abang mangsa kemudiannya membuat laporan polis, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dua jam kemudian, polis menyerbu sebuah rumah kosong di Taman Maznah, Klang.

Katanya, tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun ditahan.

“Mangsa ditemui di dalam rumah tersebut. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun kita menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry, motosikal jenis Yamaha, buku nota, buku cek, telefon bimbit dan rotan.

“Buku nota itu mengandungi butiran berkaitan aktiviti peminjaman wang. Kita percaya suspek merupakan ah long,” katanya.

Mohd Adnan berkata, salah seorang suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau antaranya bersangkutan kes curi dan pecah rumah.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: