19 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada
Sabtu memberi kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad
Datu supaya menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan
diambil pihak berkuasa Malaysia.
Perdana Menteri berkata masa untuk mempertimbangkan apa juga
permintaan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan
Sulu dari Filipina sudah berakhir.
Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini, kerana jenayah yang
dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius, katanya kepada
pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua
anggota polis Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan
kumpulan penceroboh itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang
dekat sini, Sabtu.
"Saya telah menelefon Presiden Filipina Benigno Aquino Jr II
berhubung pendirian kerajaan Malaysia itu malam tadi, dan beritahu
padanya bahawa setelah berlakunya kejadian tembak menembak pagi Jumaat,
kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua
permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.
"Dan mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri
ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa
dan pihak keselamatan," katanya.
Najib berkata tindakan mereka menceroboh ke negara ini dengan
bersenjata, dan diikuti dengan pembunuhan dua anggota keselamatan negara
serta mencederakan tiga lagi anggota polis Komando VAT 69 bererti
mereka telah melakukan jenayah yang cukup berat.
Untuk itu, kerajaan tidak akan membuka pintu rundingan lagi ataupun mempertimbang permintaan mereka, tegasnya.
Bagaimanapun, Najib enggan mengulas mengenai tempoh yang akan
diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri dengan
hanya berkata: "perkara itu saya tidak dapat dedahkan atas sebab-sebab
taktikal."
Pada Jumaat, dua anggota komando polis Inspektor Zulkifli Mamat, 29,
dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan
daripada kumpulan penceroboh itu di Kampung Tanduo, kira-kira 130
kilometer dari Lahad Datu.
Dalam kejadian itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera, dan 12 anggota kumpulan itu maut.
Dua anggota komando polis yang cedera, Kpl Mohd Tarmizi Hashim, 32,
dan Kpl Azman Ampong, 39, yang kini dirawat di Hospital Lahad Datu
dilaporkan dalam keadaan stabil.
Seorang lagi anggota komando polis yang cedera Konstabel Mohamad
Qaiyum'aiqal Zolkifli pula dirawat di Hospital Duchess of Kent,
Sandakan.
Jenazah Zulkifli dan Sabarudin yang diterbangkan dari Lapangan
Terbang Tawau pada 7.55 pagi tadi tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM)Subang pada 12.30 tengah hari ini sebelum dibawa untuk
dikebumikan di kampung masing-masing.
Zulkifli dikebumikan di Kg Kubang Ikan, Besut, Terengganu dan Sabaruddin di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan